DSP SIMIUN LOMUDIN…KETUA POLIS DAERAH RANAU
RANAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 50, Jalan Ranau-Telupid, dekat Kampung Soborong Paginatan, di sini petang kemarin.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Simiun Lomudin, berkata mangsa lelaki tempatan berumur lingkungan 20an disahkan meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan pada bahagian badan.
Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke lorong bertentangan lalu terjatuh dan terseret.
“Dalam masa yang sama, sebuah van jenis Nissan Urban yang dalam perjalanan dari Sandakan menuju Keningau telah terlanggar mangsa.
“Menurut pemandu van, dia cuba mengelak dan menekan brek namun gagal memandangkan jarak kenderaan dengan mangsa terlalu dekat.
“Mangsa telah dihantar ke Klinik Kesihatan Paginatan untuk menerima rawatan dan disahkan meninggal dunia jam 3.30 petang pada hari yang sama oleh Pegawai Perubatan yang bertugas. Manakala pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
DSP Simiun berkata, hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah kecuaian penunggangyang gagal mengawal motosikal yang ditungganginya.
Jelasnya, kes disiasat dibawah
Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.