PENUH MISTERI⦠Kelihatan Bukit Kimondou dari Kampung Perancangan – Foto Doreen Pius
Karya: Doreen Pius
KEWUJUDAN sesuatu tempat sering kali dikaitkan dengan cerita mitos asal usul sama ada dikaitkan dengan asal usul kejadian alam, manusia, binatang, atau benda yang berhubungan rapat dengan kehidupan masyarakat etnik terlibat. Mitos dalam bahasa Melayu seperti yang dijelaskan dalam Kamus Dewan (2010), merujuk kepada cerita yang berlaku ketika zaman dahulu dan cerita tersebut dianggap benar, khususnya yang mengandungi perkara berkaitan unsur-unsur konsep atau kepercayaan berkaitan sejarah awal kewujudan atau asal-usul sesuatu suku bangsa, peristiwa atau kejadian-kejadian alam, dan sebagainya. Walaupun dari sudut pengertian lain, mitos turut didefinisikan sebagai sesuatu yang merujuk kepada cerita berkaitan individu atau seseorang atau sesuatu yang tidak berlaku atau dengan erti kata lain sebagai tidak benar dan direka-reka serta dongeng, namun konsep mitos secara umumnya merupakan perkara atau peristiwa yang berlaku dalam masyarakat dan dikaitkan dengan fenomena luar biasa atau mempunyai unsur-unsur yang tidak boleh diterima dengan logika manusia, Kamus Dewan (2010).
Misteri Mondou: Mitos Asal Usul Bukit Kimondou
Di sebalik keindahan alam semulajadi yang hijau mempesona, di bawah timbunan batu-batu gua yang dilingkari akar pokok-pokok besar tumbuh meliar membentuk sebuah bukit, terdapat sebuah kisah yang merentas zaman mengikat antara cerita mitos dan realiti misteri asal usul nama Bukit Kimondou. Bukit Kimondou adalah sebuah bukit berasaskan batu yang terletak di antara tiga buah kampung di daerah Ranau iaitu Kampung Perancangan, Kampung Langsat dan Kampung Kirokot. Cerita rakyat yang diwarisi secara turun-temurun tentang mitos kewujudan sejenis makhluk mistik yang lahir daripada rahim bumi ratusan tahun dahulu dikenali sebagai Mondou dikatakan mendiami Bukit Kimondou. Ki merujuk kepada Kiwaa dalam bahasa Kadazandusun yang bermaksud “ada / memiliki / mempunyai” manakala Mondou pula adalah satu nama yang mempunyai banyak maksud. Dalam bahasa Kadazandusun, Mondou boleh dirujuk sebagai singa, naga ataupun sejenis hantu yang dipanggil Mondou. Dalam penulisan ini, Mondou lebih disifatkan sebagai sejenis makhluk mistik yang tersendiri kerana tidak menepati mana-mana gambaran khusus secara menyeluruh mengikut rujukan maksud yang diberikan sebelum ini. Namun kepercayaan penduduk setempat tentang kewujudan makhluk misteri Mondou yang mendiami bukit berdekatan kampung itu, menjadi asas kepada mitos asal usul nama Bukit Kimondou.

MEMUKAU⦠Pemandangan dari arah belakang di atas Bukit Kimondou. Dipetik dari FB Gua Batu Bukit Kimondou.
Berdasarkan temu bual dengan beberapa penduduk di sekitar tiga buah kampung berkenaan, tidak ada seorang pun yang berani mendakwa pernah melihat makhluk Mondou itu secara bersemuka. Namun demikian, mereka percaya bahawa makhluk tersebut pernah dijumpai oleh penduduk kampung suatu ketika dahulu melalui gambaran rupa yang kemudiannya dikongsikan dari mulut ke mulut dan dari generasi ke generasi sehingga kini. Penemuan rangka yang dipercayai Mondou suatu ketika dulu juga masih menjadi tanda tanya sehingga kini sama ada rangka tersebut adalah benar-benar milik Mondou atau sebaliknya. Dipercayai bahawa rangka makhluk tersebut telah ditemui dalam perangkap yang dipasang oleh pemburu binatang buas di hutan Bukit Kimondou. Terdapat mitos yang mengatakan bahawa Mondou menyerupai seekor singa namun memiliki struktur tangan bersayap seperti kelawar di kedua-dua belah tangannya dan boleh terbang. Ada juga mitos yang mengatakan Mondou menyerupai seekor kerbau matang yang bertanduk sangat besar namun mempunyai mulut yang menyerupai naga. Makhluk ini dikatakan memang boleh terbang kerana bersayap dan suka bertenggek di atas pokok. Walaupun pelbagai kombinasi luar biasa yang diberikan untuk menggambarkan rupa Mondou, makhluk ini dipercayai tinggal di bawah tanah dengan membina lubang berupa terowong dan dikatakan bersambungan dengan kawasan lubang dalam batu-batu besar berupa gua di Bukit Kimondou.
Keturunan Mondou: Mistik yang Masih Hidup
Apa pun rupa bentuk dan gambaran tentang kewujudan Mondou, perkara yang menarik sekali untuk dikupas adalah kepercayaan penduduk setempat tentang kewujudan keturunan Mondou dalam kalangan manusia di kampung tersebut. Menurut temu bual bersama Encik Masilin bin Medusin, yang dipercayai keturunan generasi Mondou ke-5, beliau telah mendengar dakwaan tentang susur galur keturunannya dari Mondou berdasarkan cerita dari nenek moyang sejak ratusan tahun yang lalu lagi. Namun apa yang lebih menarik lagi, mitos keturunan Mondou berupa manusia ini bukan setakat dakwaan cerita keluarga tersebut sahaja malah turut dipercayai oleh masyarakat setempat.

UNIK⦠Struktur binaan Bukit Kimondou terbina dari batu-batu besar yang tersusun saling bertindih. Dipetik dari FB Gua Batu Bukit Kimondou.
Bagi generasi baharu yang baru sahaja mengetahui tentang kewujudan mitos ini, persoalan yang sering bermain dalam fikiran mereka adalah bagaimanakah keturunan makhluk mistik Mondou boleh mempunyai keturunan manusia. Hashim (1985) mengaitkan mitos sebagai cerita rakyat yang mengandungi penceritaan tentang sesuatu peristiwa luar biasa atau bertentangan dengan pemikiran logik manusia. Pengkaji dari barat, Bascom (1965) pula menjelaskan bahawa mitos sebagai sesuatu penceritaan yang dianggap benar dan pernah terjadi suatu ketika dulu, bahkan dikatakan mempunyai bukti (testimoni) yang menjelaskan perkaitan masyarakat, budaya dan alam. Berdasarkan pandangan para pengkaji berkaitan kewujudan dan kebenaran cerita-cerita mitos, mitos keturunan Mondou boleh dianggap sebagai mistik yang masih hidup sehingga kini. Dari perspektif lain, misteri kewujudan keturunan Mondou sebenarnya membawa kita untuk merenung dengan lebih mendalam tentang kewujudan hubungan antara manusia dengan makhluk mistik yang jauh lebih tua telah wujud daripada sejarah yang sedia tercatat.
Mondou: Keturunan Dua Dunia yang Berbeza
Berdasarkan temu bual berkumpulan bersama Encik Masilin bin Medusin, kakaknya Sabtuyah binti Medusin serta beberapa orang kampung termasuk Ketua Kampung, Encik Paiman @ Jalumin Ikos di Kampung Langsat, kisah Mondou berketurunan manusia bermula dengan sebuah cerita mitos sejak ratusan tahun yang lalu. Dikatakan bahawa pada suatu ketika dulu, terdapat seorang gadis sunti yang sering tertidur pada waktu siang ketika diminta untuk menjaga padi huma mereka di sebuah bukit yang dipercayai terletak di sekitar Bukit Kimondou. Pada suatu masa, gadis sunti yang belum bersuami itu telah hamil tanpa mengetahui siapakah yang telah menghamilinya. Ibu bapanya termasuk seluruh penduduk kampung gempar akan berita tersebut dan memaksa gadis itu mengaku serta menceritakan siapakah bapa yang bertanggungjawab terhadap anak yang sedang dikandungnya. Walau bagaimanapun, gadis itu bersungguh-sungguh meyakinkan mereka bahawa dia tidak tahu bagaimana dia boleh hamil sambil mempertahankan diri bahawa dia tidak pernah melakukan zina dengan sesiapa. Namun menurutnya, setiap kali ketika dia tertidur semasa menjaga padi di kebun mereka, dia seolah-olah bermimpi dan berasakan ada sesuatu yang seolah-olah sedang āmemakainya sebagai isteriā namun tidak mengetahui siapa kerana apabila dia terjaga, dia tidak pernah melihat sesiapa di sampingnya. Cerita tersebut diragui oleh ahli keluarganya malah menjadi buah mulut penduduk kampung sehinggalah dia selamat melahirkan anaknya.

Batu-batu besar dilingkari pokok kayu yang berakar besar dan panjang. Dipetik dari FB Gua Batu Bukit Kimondou.
Kembar! Gadis itu selamat melahirkan anak kembar. Seorang bayi perempuan berupa manusia normal dan seorang lagi bayi lelaki atau sesuai dipanggil seekor makhluk mistik, jantan. Bayi ālelakiā itu digambarkan menyerupai makhluk mistik Mondou sebagaimana rupa yang sering diceritakan oleh masyarakat setempat khususnya mereka yang mendakwa pernah melihatnya. Melihat kelahiran bayi bersifat Mondou itu maka penduduk kampung akhirnya percaya bahawa āsuamiā kepada gadis sunti tersebut adalah makhluk mistik Mondou. Walaupun kelahiran bayi tersebut pada awalnya menimbulkan pelbagai persoalan, keraguan malah kerisauan dalam kalangan penduduk kampung namun semua perasaan tersebut kembali reda apabila tidak pernah ada sebarang kejadian buruk apatah lagi ancaman yang pernah berlaku di kampung itu sepanjang kewujudan keturunan Mondou. Keturunan Mondou seolah-olah ādirestuiā untuk hidup bersama dan menjadi sebahagian daripada penghuni di kawasan kampung tersebut.
Encik Masilin, Puan Sabtuyah dan Encik Paiman @ Jalumin menceritakan bahawa Mondou yang dipercayai bapa kepada bayi Mondou itu sentiasa menghantar bahan makanan berupa binatang hutan seperti kijang dan rusa kepada anak-anaknya sebagai sumber makanan. Menurut mereka, makhluk mistik itu akan melontarkan binatang tersebut dari arah atas seperti di atas bumbung rumah kediaman anak isterinya. Perilaku Mondou tersebut bukan sahaja disimbolikkan sebagai seorang ayah yang sedang menjalankan tugas untuk memberi nafkah berupa makanan kepada ahli keluarganya malah kehadiran makhluk mistik tersebut diibaratkan sedang menjaga keluarganya dari sebarang perkara yang tidak diingini. Kejadian itu dikatakan telah berterusan sehinggalah pada suatu ketika, anak lelaki Mondou itu hilang secara tiba-tiba dan dipercayai telah dibawa oleh ayahnya, Mondou. Kembarnya iaitu anak perempuan Mondou berupa manusia kekal dipelihara oleh keluarganya dan inilah waris yang dipercayai membentuk generasi atau keturunan Mondou berupa manusia yang tinggal di Kampung Langsat berdekatan dengan Bukit Kimondou. Mitos kewujudan keturunan Mondou yang memiliki hubungan darah secara langsung dengan manusia sehingga kini dianggap begitu istimewa kerana menjadi simbolik kepada hubungan dua dunia yang berbeza.
Mondou, Manusia dan Alam Semulajadi: Satu Jalinan Hubungan Simbiotik
Keturunan Mondou ketika ditanya tentang perkaitan mitos Mondou itu dengan keturunan mereka semasa sesi temu bual ini dijalankan, mereka tidak menafikan kesahihan tentang kewujudan cerita mitos tersebut namun pada masa yang sama, mereka juga tidak mengesahkan kebenaran tentang kewujudan beberapa konotasi berkaitan makhluk mistik tersebut khususnya yang bersifat negatif. Dari sudut lain, keturunan Mondou juga tidak mendakwa bahawa mereka adalah keturunan yang terpilih menjadi pewaris untuk menjaga Bukit Kimondou walaupun dikaitkan berketurunan Mondou. Waris Mondou lebih mempercayai bahawa apa pun mitos di sebalik kewujudan Mondou dan warisnya berupa manusia, hubungan itu lebih kepada simbolik hubungan antara dunia manusia dengan dunia alam semulajadi yang sewajarnya saling memerlukan dan bergantungan bagi mengekalkan kelestarian alam semulajadi khususnya di Bukit Kimondou. Menurut mereka, tindakan Mondou yang bukan hanya menjaga kelestarian batu-batu gua dan pokok-pokok besar yang unik subur menghijau, tetapi juga membantu melindungi setiap haiwan serta binatang yang mendiami bukit tersebut diibaratkan sebagai satu jalinan hubungan simbiotik antara manusia, alam semulajadi, dan makhluk mistik. Hubungan āsuciā tersebut perlu dipelihara tanpa dicemari dengan unsur pengkhianatan atas kebergantungan bersama.

MONDOU⦠Pelbagai gambaran luar biasa diberikan oleh masyarakat sekitar.
Dikatakan bahawa sesiapa sahaja penduduk kampung yang pernah menyimpan rangka Mondou yang telah dijumpai sebelum ini akan berasa sentiasa tidak tenteram tinggal di rumahnya sendiri. Rumah kediaman mereka dirasakan selalu digoncang dengan kuat seolah-olah berlakunya gempa bumi. Rangka dipercayai milik Mondou itu tidak lagi dijumpai sehingga kini dan keberadaannya masih menjadi misteri. Keturunan Mondou sendiri tidak pernah berniat untuk mahu menyimpannya kerana takut ada perkara buruk yang boleh menimpa terhadap keturunan mereka. Menurut cerita penduduk Kampung Langsat, Encik Fahinin bin Araban dan Puan Zainab Seraya, ketika Mondou itu mati akibat terperangkap, pasangan Mondou itu telah mengamuk dengan mencakar batu-batu besar di sekitarnya untuk melepaskan kemarahan dan kesedihannya. Perbuatan Mondou itu kemudian dikaitkan dengan kewujudan corak cakaran di permukaan batu-batu besar atau juga dikenali sebagai pampang di sekitar kampung tersebut.
Beberapa kejadian pelik berlaku bagi menguatkan lagi kepercayaan masyarakat setempat bahawa Mondou itu masih lagi menghuni Bukit Kimondou sehingga kini. Menurut waris Mondou dan dakwaan beberapa orang kampung, mereka pernah mendengar bunyi yang sangat kuat seolah-olah bunyi gajah sedang meraung kesedihan, sambil menghentak-hentak kakinya ke tanah dari arah Bukit Kimondou. Bunyi tersebut berlaku ketika salah seorang keturunan Mondou dipercayai waris generasi ke-3, iaitu cicit kepada Mondou telah meninggal dunia suatu ketika dahulu. Penduduk kampung mempercayai bahawa bunyi tersebut mungkin raungan kesedihan Mondou yang telah kehilangan ahli keluarga berketurunan manusia.
Mondou Penjaga Bukit Kimondou
Masyarakat sekitar khususnya penduduk kampung percaya bahawa Mondou adalah penjaga kepada Bukit Kimondou. Sesiapa sahaja yang berminat untuk menerokai keunikan dan keindahan alam semulajadi Bukit Kimondou hendaklah menjaga ākesuciannyā. Melalui perkongsian cerita bersama ketua kampung dan ahli waris Mondou, terdapat banyak peristiwa aneh yang berlaku di bukit tersebut akibat sikap manusia yang tidak menghormati Bukit Kimondou. Antaranya ialah kisah para pendaki dan para pemburu yang selalu sesat serta tidak menemui jalan keluar jika terdapat peraturan yang telah ditetapkan, dilanggar. Peraturan utama ketika memasuki kawasan bukit tersebut ialah manusia haruslah menghormati kelestarian flora dan fauna tanpa menganggunya. Adalah menjadi satu pantang larang untuk membicarakan setiap perkara atau benda pelik yang dilihat dan dijumpai sepanjang berada di Bukit Kimondou.
Satu fenomena pelik dikatakan pernah berlaku di Bukit Kimondou tidak lama dahulu. Penduduk kampung mendakwa bahawa kawasan Bukit Kimondou telah dilawati oleh sekumpulan kelawar yang dianggarkan mencecah hingga jutaan ekor. Menurut cerita orang kampung, jutaan kelawar itu terbang berkumpulan sehingga awan kelihatan mendung kerana kumpulan haiwan itu seolah-olah membentuk sebuah payung gergasi yang menutupi dengan memayungi puncak Bukit Kimondou. Fenomena luar biasa ini tersebar luas dalam sekelip mata sahaja dan Bukit Kimondou menjadi tumpuan para pemburu kelawar sama ada dalam kalangan penduduk kampung itu sendiri mahupun masyarakat luar. Anehnya, ramai pemburu dikatakan telah sesat dan tidak menemui jalan pulang sehingga terpaksa diselamatkan oleh penduduk kampung setempat yang arif dengan keadaan geografi bukit tersebut.
Lebih pelik lagi, apabila terdapat cerita dalam kalangan pemburu yang mendakwa bahawa semasa mereka menembak kelawar yang bergayut terlalu banyak di atas pokok, kelawar-kelawar tersebut akan jatuh seolah-olah sudah mati. Namun belum sempat kelawar-kelawar itu menyentuh tanah, dikatakan bahawa kelawar-kelawar yang lain akan membentuk bulatan seperti tangan untuk menyambut kelawar-kelawar yang sudah ditembak mati lalu diletakkan semula di atas pokok dan kelawar tersebut akan hidup seperti biasa. Perkara ini menggambarkan bahawa para pemburu tidak boleh membunuh kelawar yang sedang berziarah di Bukit Kimondou pada ketika itu. Kejadian aneh ini dikatakan telah menyebabkan para pemburu terlibat, tidak lagi berani datang berburu ke Bukit Kimondou.
Mondou dan Bukit Kimondou: Warisan yang Terus Hidup
Di sebalik seribu satu kisah misteri mitos makhluk mistik Mondou di Bukit Kimondou, bukit ini sebenarnya cukup terkenal sebagai sebuah tapak pelancongan berasaskan batuan serta flora dan fauna semulajadi yang sungguh unik dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara. Jika dilihat secara mata kasar, Bukit Kimondou seolah-olah terbina dari himpunan batu-batu besar yang saling bertindih sehingga membentuk batu-batu gua dan akhirnya membentuk sebuah bukit yang cukup tinggi. Dengan kata lain, bukit ini terbina berasaskan tindihan batu-batu besar dan bukan tanah atau pun batu konkrit seperti kebanyakan binaan asas bukit-bukit yang lain. Tumbuhan liar khususnya pokok-pokok yang berakar besar, tumbuh subur melingkari batu-batu besar seolah-olah berfungsi untuk mengikat dan membalut timbunan batu besar agar kukuh membentuk menjadi sebuah bukit batu. Keunikan Bukit Kimondou ini bukan sahaja menjadi tarikan para pelancong tetapi juga para pengkaji namun sehingga kini belum ada kajian secara saintifik yang dapat merungkai seribu satu persoalan dan misteri berkaitan dengan keunikan binaan asas Bukit Kimondou.

Salah satu batu besar atau pampang yang dipercayai dicakar oleh Mondou. Foto: Doreen Pius
Penulis merumuskan bahawa keistimewaan Bukit Kimondou dan hubungan Mondou dengan alam semulajadi serta manusia bukanlah sekadar satu mitos kosong. Dalam cerita mitos ini, alam bukan hanya dianggap sebagai sebuah latar belakang tetapi sebagai sebuah entiti hidup yang harus dihormati. Mondou, dengan segala mitos mistik dan kuasa luar biasanya untuk berhubung dengan setiap elemen alam termasuk melahirkan keturunan Mondou berupa manusia adalah satu bentuk penzahiran, betapa erat dan pentingnya menjaga keharmonian hubungan antara manusia dengan alam. Perlu diterima bahawa mitos Mondou dan Bukit Kimondou juga merupakan satu bukti kukuh bahawa hubungan antara manusia dan alam adalah sesuatu yang lebih daripada sekadar hubungan fizikal. Mitos ini lebih berupa satu simbolik hubungan āsuciā yang penuh dengan penghormatan, kasih sayang, saling menghargai dan saling memerlukan bagi mengekalkan keseimbangan hidupan di muka bumi.
Seperti mana kesungguhan Mondou menjalankan amanah dan bertanggungjawabnya menjaga Bukit Kimondou, begitulah seharusnya kita dalam menjaga alam semulajadi agar warisan yang berharga ini terus hidup untuk menjadi tatapan generasi akan datang. Kisah Mondou dan Bukit Kimondou mengajar kita bahawa alam bukanlah wujud untuk dieksploitasi tetapi sesuatu yang perlu dipelihara dengan penuh kasih sayang dan dihormati. Mitos Mondou yang digambarkan begitu komited dalam menjaga Bukit Kimondou malah sanggup memberi keturunan berupa manusia adalah satu jentikan peringatan dan teguran kepada manusia bahawa kita adalah penjaga dan pelindung alam yang sebenar. Hubungan darah yang termeterai antara keturunan Mondou dengan keturunan manusia sesungguhnya adalah satu simbolik tentang hubungan āpersaudaraanā yang tidak boleh dipisahkan. Hubungan suci itu perlu kekal terpelihara dalam memastikan kelangsungan hidup semua makhluk hidup yang berkongsi satu ekosistem di muka bumi ini sama ada manusia, flora dan fauna mahu pun Mondou.
Diterbitkan oleh BorneoDailyBulletin.com/ 8 April 2025