MANTAP…. Mohd Rafi bersama timbalannya, Datuk Bashir ketika membuang undi bagi memilih AJK Bahagian sesi 2023-2026.
LABUAN:Ketua UMNO Bahagian Labuan yang baharu, Datuk Mohd Rafi Datuk Ali Hassan bertekad untuk mengembalikan semula maruah UMNO yang tercalar selepas mengalami kekalahan pada pilihan raya umum (PRU) ke 15.
Beliau berkata UMNO khususnya UMNO Bahagian Labuan perlu bangkit semula mengembalikan maruah UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nasib rakyat, agama dan bangsa.
Mohd Rafi yang menang tanpa bertanding pada pemilihan parti bagi sesi 2023-2026 turut menuntut kepada barisan kepimpinan UMNO yang baharu dipilih supaya mempunyai iltizam yang tinggi untuk mendekati dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti UMNO.
“Apa yang saya harapkan barisan kepimpinan UMNO termasuk kepimpinan UMNO diperingkat akar umbi dapat menanam iltizam yang tinggi untuk sama sama mengembalikan UMNO ke naluri rakyat khususnya di Labuan.
“UMNO Labuan perlu bangkit semula untuk mengembalikan maruah UMNO yang sedikit tercalar selepas kita kalah dalam PRU lalu termasuk calon kita di Labuan” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian Labuan sesi 2023-2026 di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Bashir Alias dan Naib Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Khalid Ab. Ghani serta barisan kepimpinan UMNO Bahagian.
Dalam pada itu, Mohd Rafi turut menjelaskan antara langkah awal yang akan dilakukan oleh beliau ialah memberi keutamaan kepada ketua ketua cawangan dengan memperbanyakkan program bersama rakyat dan pengundi di cawangan masing masing.
Selain itu beliau juga akan berbincang dengan jawatankuasa UMNO yang baharu dipilih untuk membentuk Majlis Mahasiswa Labuan sebagai usaha mendekati golongan muda.
“Kita juga berhasrat untuk menubuhkan Majlis Veteran UMNO sebagai menghargai ahli ahli UMNO yang tetap setia dengan parti sehingga sekarang” katanya.