Datuk Ronald James Majaing.
LABUAN: Momogun National Congress (MNC) melahirkan rasa prihatin terhadap pelantikan Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan yang gagal melibatkan etnik bumiputera masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM).
Ahli Majlis Tertinggi (MNC) Momogun National Congress, Datuk Ronald James Majaing, berkata sebelum ini pelantikan Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan melibatkan semua kaum termasuk KDM dan seharusnya pelantikan tersebut perlu berpandukan formula wakil etnik.
“Namum kali ini amat menyedihkan kerana kaum KDM dipinggirkan dari menganggotai badan itu” katanya dalam satu kenyataan media di sini kelmarin.
Ronald yang pernah menganggotai badan itu untuk satu penggal menegaskan Kementerian Wilayah Persekutuan sepatutnya memutuskan senarai pelantikan berkenaan mengambil kira komposisi kaum dan peratusan ernik yang terdapat di pulau ini.
Beliau berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia menunujukan penduduk Labuan terdiri daripada komposisi Melayu dan bumiputera termasuk KDM berjumlah 60,419 orang, Cina 9,639, India 620, dan lain lain 1,462 orang.
Beliau berkata, jika diambil kira jumlah penduduk dalam perangkaan itu, KDM layak menduduki sekurang-kurangnya dua kerusi sebagai Ahli Majlis Penasihat (kuata bukan Melayu) tanpa perlu meminta minta dari pihak berkaitan dalam menentukan layak atau tidak.
“Saya berpendapat tiada alasan bagi Kerajaan untuk menidakkan atau menafikan hak kaum KDM untuk terus mendapat tempat di dalam Majlis Penasihat ataupun jawatan-jawatan penting yang lain” katanya.
Justeru itu, Ronald berharap kerajaan dapat mengunakan formula pelantikan mengikut komposisi kaum etnik agar pada masa hadapan tidak berlaku peminggiran etnik tertentu dalam keanggotaan pihak berkuasa tempatan.