EWON
KOTA KINABALU: Laporan siasatan awal berhubung kejadian perlanggaran antara sebuah railbus dengan motor troli di Kilometer 134/4, Pangi, Tenom pada 3 Mac lalu akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah minggu hadapan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri, Datuk Ewon Benedick, berkata beliau telah meminta laporan daripada Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) sejurus selepas kejadian itu berlaku.
Menurutnya, laporan siasatan awal berhubung insiden berkenaan telah diterima dan turut dipanjangkan kepada pejabat Ketua Menteri Sabah hari ini untuk makluman lanjut.
“Saya akan membentangkan laporan siasatan tersebut dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah yang dijadualkan berlangsung pada 11 Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, JKNS dalam kenyataannya memaklumkan insiden tersebut melibatkan perkhidmatan kereta api dan sebuah motor troli yang berlaku di KM134/4 landasan Tenom–Pangi pada 3 Mac lepas.
Menurut jabatan itu, satu siasatan dalaman telah diaktifkan melalui Board of Enquiry (Badan Penyiasatan Dalam) selaras dengan prosedur siasatan yang sedang berkuat kuasa.
JKNS turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tenom bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
“Sebarang tindakan susulan oleh JKNS akan dibuat berdasarkan hasil laporan Board of Enquiry, selaras dengan peruntukan yang termaktub dalam Enakmen Keretapi 2017,” menurut kenyataan itu.
Menurut JKNS, insiden berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
“Pihak Jabatan Keretapi Negeri Sabah berasa kesal atas insiden yang berlaku. Pada masa ini, siasatan dalaman JKNS serta siasatan pihak polis sedang giat dijalankan,” menurut kenyataan itu.



