25 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 24, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Polis tahan lelaki tempatan miliki 2 laras bakakuk.

RAMPASAN...DSP Sammy (kanan) bersama seorang pegawai kanan polis IPD Ranau menunjukan 2 laras bakakuk yang berjaya dirampas pada Jumaat lalu.

RANAU: Polis daerah ini menahan seorang lelaki tempatan kerana didapati memiliki dua (2) laras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, suspek berumur lingkungan 30an itu ditahan pada petang Jumaat lalu di kampung Narambai, di sini.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau telah menjalankan Op Laras di kampung tersebut lebih kurang 5.20 petang.

IKLAN: Baja Subur Cecair Organik https://www.facebook.com/AJS-Trading-111315447278695/ atau http://www.wasap.my/60128648928/

“Dalam operasi itu, polis telah membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor dan telah berjaya menahan suspek seterusnya merampas dua laras bakakuk.

“Kes disiasat di bawah seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 (Akta 206). Sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh di hukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada media hari ini.

Menurut Sammy, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ranau memandang serius berkenaan pemilikan dan penggunaan senjatapi buatan sendiri serta penggunaan senjatapi tanpa lesen yang sah di daerah ini.

Beliau berkata, Op Laras akan terus dipergiatkan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berkenaan senjatapi berlaku di daerah ini.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang berkenaan pemilikan dan penggunaan senjatapi bagi mengelakan tindakan tegas diambil ke atas mereka kerana PDRM Ranau tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang melanggar undang-undang ini. 

“PDRM Ranau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang telah tampil menyalurkan maklumat berkenaan pemilikan senjatapi buatan sendiri ini,” katanya.

Sammy juga meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan pemilikan dan penggunaan senjatapi buatan sendiri atau penggunaan senjatapi tanpa lesen yang sah boleh menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak IPD Ranau.
 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN