Profesor Madya Dr. Jurry Foo
– “adalah menjadi harapan saya” –
SEMPENA pembentangan belanjawan 2025, dua perkara yang menjadi harapan saya untuk diberikan fokus ialah pendayaupayaan wanita dalam bidang keusahawanan dan pendidikan, khususnya bagi wanita luar bandar. Kekuatan wanita yang sudah sedia ada perlu dipertingkatkan lagi dengan memperuntukkan dana dalam program-program yang melibatkan golongan wanita, khususnya di luar bandar. Ini boleh dilakukan dengan saluran dana khas untuk menggalakkan pakar-pakar di universiti membimbing golongan wanita dalam pelbagai bidang, sama ada bidang keusahawanan mahupun bidang akademik.
Tinjauan yang dilakukan di beberapa daerah di Sabah, mendapati bahawa ramai wanita di luar bandar mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang, namun mereka tidak ada panduan dan pendedahan untuk tampil dan mencari jalan keluar daripada tempat tinggal meraka. Misalnya Puan Dora dari Ulu Sugut yang mempunyai sijil mengajar dalam bidang jahitan. Beliau berhasrat untuk menggunakan kemahiran itu untuk mengadakan kelas menjahit dalam kalangan wanita yang tinggal di sekitar kampung, namun beliau tidak mempunyai akses terhadap maklumat untuk menjayakan hasrat tersebut. Sekumpumpulan wanita yang bergiat aktif di Kota Marudu yang ditemui dalam satu kajian berkaitan pelancongan pula mengharapkan bimbingan khas yang bukan bersifat one-off diberikan kepada kaum wanita berkaitan pengurusan pelancongan di kawasan mendaki yang diusahakan oleh penduduk kampung. Menurut mereka, kekangan pengetahuan dan kemahiran menyebabkan mereka tidak tahu bagaimana mempromosikan produk pelancongan mereka.
Perkara kedua pula ialah pemantapan akademik dengan memperuntukan dana khas bagi pelajar yang berpotensi dalam pelbagai bidang akademik sama ada bagi arus perdana ataupun TVET. Saluran dana untuk program khas antara institut pengajian tinggi dengan sekolah luar bandar perlu dilancarkan untuk mengadakan program berterusan yang dapat membimbing dan mengenal pasti lebih awal golongan muda yang berpotensi untuk melanjutkan pelajaran. Ini mungkin sahaja dijayakan melalui program satu pensyarah satu sekolah. Kita tidak mahu ada pelajar luar bandar yang terlepas peluang mendapatkan peluang pendidikan seperti yang berlaku kepada pelajar dari Pitas dan Tawau baru-baru ini yang terpaksa melupakan hasrat melanjutkan pelajaran kerana kekangan kewangan dan tidak mempunyai maklumat dan akses kepada bantuan kewangan dan dana pendidikan selain platform media sosial.
Sesungguhnya aspirasi pendayaupayaan wanita ini bukan sahaja memberikan impak positif kepada golongan wanita itu sendiri, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya. Semoga pendapat peribadi saya ini mendapat perhatian pihak autoriti demi manfaat bersama.