Razzidin merakamkan kenangan bersama pasukan MDK FC selepas menyampaikan hadiah.
KENINGAU: MDK FC dan Inter United FC masing-masing mengukir nama sebagai pasukan Juara Kategori Terbuka dan 17 Tahun Kebawah Kejohanan Bola Sepak Piala Presiden Keningau FA bagi tahun 2023.
Peringkat Akhir yang diadakan serentak pada Sabtu di Kompleks Sukan Keningau itu menyaksikan pasukan juara bagi kategori terbuka dan 17 tahun kebawah berkenaan masing-masing membawa pulang hadiah piala serta wang tunai RM1,500 dan RM800.
Perlawanan peringkat akhir Kategori Terbuka yang dimulakan pada jam 3.30 petang itu menyaksikan MDK FC telah membelasah lawannya iaitu Luton FC dengan keputusan 8-2.
Kemenangan ini menyaksikan pasukan MDK FC sekali lagi melonjakkan nama sebagai pasukan yang digeruni yang mana pasukan ini turut menjuarai Kejohanan Bola Sepak Keningau Premier League pada tahun 2022.
Sementara itu, pasukan bola sepak yang baru ditubuhkan pada tahun lalu iaitu Inter United FC membuktikan pasukan tersebut serius dalam melonjakkan nama pasukan untuk menjadi pesaing yang digeruni sama ada di peringkat Pedalaman mahupun negeri.

PRazzidin merakamkan kenangan bersama pasukan Inter United FC selepas menyampaikan hadiah.
Dalam perlawanan yang diadakan bermula jam 2 petang itu menyaksikan pasukan Inter United FC antara MU FC terikat dengan keputusan seri, iaitu 1-1 yang membawa kepada sepakan penalti untuk menentukan pasukan juara.
Walau bagaimanapun, pasukan Inter United FC telah muncul juara melalui keputusan 4-2 dalam sepakan penalti berkenaan.
Sementara itu, Naib juara kejohanan ini iaitu Luton FC bagi kategori terbuka dan MU FC bagi kategori 17 tahun kebawah masing-masing membawa pulang hadiah piala serta wang tunai RM1000 dan RM500.
Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Razzidin Robert bagi mewakili Presiden Keningau FA, Rafie Robert.
Terdahulu, pasukan Aprisma FC dan Sunflower FC masing-masing muncul juara bagi kategori 15 tahun kebawah dan 12 tahun kebawah dalam kejohanan Piala Presiden Keningau FA 2023 ini.