ADVERTISEMENTspot_img

MCMC Perluas KIS di 1,298 Sekolah Sabah

Fahmi menyampaikan sijil penghargaan kepada Ikon Murid, Wafa Wafia.

SIPITANG:  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal memperluaskan Kempen Internet Selamat (KIS) di seluruh negara termasuk 1,298 sekolah di Sabah. 


Menurut kenyataan MCMC hari ini, pihaknya akan terus menjalin kerjasama strategik merentas kementerian, agensi kerajaan dan pihak industri bagi memperkukuh impak pelaksanaan program KIS dalam kalangan murid-murid.


Setakat ini, program KIS telahpun dilaksanakan di 22 daripada 29 buah sekolah di daerah Sipitang manakala, baki tujuh buah sekolah lagi akan dilaksanakan dalam masa terdekat sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkasa kesedaran mengenai keselamatan dalam talian di peringkat sekolah. 

Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dalam Program KIS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sindumin pada Rabu, menyerahkan sijil penghargaan dan vest Ikon Guru dan Ikon Murid masing-masing kepada Azri Hazim Abu Bakar dan Wafa Wafia Mohd Syazwan sebagai penghargaan atas usaha mempromosikan budaya keselamatan dalam talian.

Turut menerima sijil penghargaan ialah Guru Besar SK Sindumin, Sipitang, Abdul Rasid Penghulu. 

Azri Hazim yang juga Guru Penyelaras ICT berkata menjadi tanggungjawabnya untuk sentiasa memberi peringatan kepada 233 murid di sekolah itu agar tidak leka dengan media sosial.

Beliau turut menyokong sepenuhnya gesaan kerajaan untuk tidak membenarkan kanak-kanak di bawah 13 tahun untuk memiliki akaun Tiktok, Facebook dan sebagainya dan berpendapat ibu bapalah yang memainkan peranan paling penting.”Walaupun di sekolah ini di luar bandar, teknologi komunikasi ini tak boleh lari daripada penduduk termasuk murid-murid. Jadi, mereka ni pengguna kepada media sosial, ada akaun.


“Tapi itulah kesedaran itu amat penting supaya mereka tahu macam mana, apa itu internet selamat, media sosial itu macam mana, bila mereka boleh guna. Internet memang kadang-kadang perlu untuk mereka selesaikan tugasan sekolah tapi mesti juga ada pemantauan oleh ibu bapa di rumah,” ujarnya – PENERANGAN

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN