26 C
Kota Kinabalu
Isnin, Disember 4, 2023
ADVERTISEMENTspot_img

Mayat wanita warga emas ditemukan di Sungai Kg.Tompios

Anggota Bomba ketika mengeluarkan mangsa yang tersangkut pada dahan pokok di Sungai dekat Kg.Tompios, di sini.

RANAU: Mayat wanita warga emas yang hilang sejak Isnin lalu ditemukan tersangkut pada dahan pokok di sungai Kampung Tampios, di sini, hari ini.

Mangsa Minggui Belinting, 80, ditemui pada 7.21 pagi oleh penduduk kampung sebelum bertindak menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian di Kampung Tinanom.

Katanya, kali terakhir mangsa dilihat ketika keluar rumah untuk mengambil sayur kampung jam 10 pagi dan meminta cucunya yang tinggal berdekatan rumahnya untuk mengangkat pakaianya di jemuran.

DSP Simiun Lomudin, Ketua Polis Daerah Ranau

“Sehingga petang mangsa belum pulang ke rumah dan pagi esoknya, cucunya bersama orang kampung mencari mangsa di sekitar kawasan kampung namun tidak ditemui.

“Cucu mangsa kemudian hadir ke Balai Polis Ranau, semalam untuk membuat laporan mengatakan neneknya tidak pulang sejak dua hari lalu dan meminta bantuan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Simiun berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian diaktifkan pada 8 pagi semalam di kawasan kejadian.

“Pada 7.21 pagi tadi, mangsa ditemui dalam keadaan meninggal dunia tersangkut pada dahan pokok di sungai Kampung Tampios.

“Mayat mangsa kemudian diangkat oleh pasukan penyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Sukarelawan (Rela),” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN