29 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 22, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

MAT Kali Ke-2 KOMAND 2025 Perkukuh Tadbir Urus, Garis Hala Tuju Baharu Koperasi

SIMBOLIK….Abdul Gani menandatangani buku perasmian MAT Kali Ke-2 2025 Koperasi KOMAND

TAWAU: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-2 Tahun 2025 Koperasi Permuafakatan Veteran Komando Malaysia Sabah Berhad (KOMAND) menjadi landasan penting dalam memperkukuhkan tadbir urus serta merangka hala tuju baharu koperasi, kata Penyelia Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Tawau, En Abdul Gani bin Hj Aman.

Berucap merasmikan mesyuarat yang berlangsung di Wisma RASPAND, di sini, baru-baru ini, beliau berkata penggubalan Undang-Undang Kecil (UUK) koperasi perlu diberi keutamaan bagi memastikan pengurusan KOMAND selari dengan peruntukan undang-undang semasa serta amalan tadbir urus terbaik.

Menurutnya, pematuhan terhadap peraturan dan ketelusan dalam pentadbiran merupakan asas penting bagi menjamin kelestarian sesebuah koperasi, khususnya dalam mengurus kepentingan ahli yang terdiri daripada veteran komando.

Abdul Gani turut menggalakkan KOMAND meneroka peluang ekonomi secara berfokus dan berdaya maju, termasuk dalam sektor eko-pelancongan, pertanian dan perikanan, di samping memperluaskan penglibatan dalam perkhidmatan kontraktor serta aktiviti peruncitan dan pemborongan.

Beliau berkata kepelbagaian aktiviti ekonomi yang dirancang secara strategik mampu menjana pendapatan mampan, sekali gus meningkatkan kesejahteraan ekonomi ahli koperasi dalam jangka panjang.

Pada mesyuarat itu, ahli turut meluluskan cadangan membuka keahlian koperasi kepada ahli keluarga Veteran Komando sebagai langkah memperluaskan penyertaan serta memperkukuh sokongan komuniti dalam pelaksanaan projek dan aktiviti koperasi pada masa hadapan.

Abdul Gani merakamkan penghargaan terhadap komitmen dan usaha kepimpinan KOMAND dalam memperkasa ekonomi veteran melalui platform koperasi, sambil berharap koperasi itu dapat terus diurus secara profesional, telus dan berdaya saing.

Mesyuarat berkenaan berakhir dengan semangat muafakat dan komitmen tinggi dalam kalangan ahli untuk merealisasikan visi serta misi KOMAND sebagai sebuah koperasi yang progresif dan berdaya maju.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN