Datuk James menerima cenderahati disampaikan Datuk Johari
SANDAKAN: Masyarakat dari suku kaum Sungai digesa agar terus memelihara dan menyintai budaya mereka supaya terus kekal dan tidak pupus ditelan arus permodenan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahtetaan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, adalah sangat penting bagi setiap masyarakat Sungai, khususnya generasi muda supaya mempertahan, memelihara adat dan budaya suku kaum tersebut.
“Dalam kita memelihara adat dan budaya, Masyarakat Sungai perlu menjunjung nilai-nilai murni yang telah sebati dalam diri kita, termasuk cara hidup dan jati diri dalam menongkah arus kemajuan masa kini.
“Justeru itu, nilai-nilai yang boleh menghambat atau menghalang suku kaum kita daripada melangkah maju perlu dikikis agar kita berjaya setanding dengan bangsa-bangsa lain di negara ini.
“Penerokaan kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran yang selari dengan keperluan masa kini perlu diberi tumpuan untuk membolehkan kaum Sungai meningkatkan kualiti diri dalam mengejar kemajuan hari ini,” kata beliau.
James yang juga Adun Sugut mengingatkan generasi muda agar mempunyai inisiatif sendiri untuk mencari peluang bukan sahaja dalam bidang akademik, kerjaya tetapi juga dalam keusahawanan.
“Cari ruang dan peluang yang ada, jangan ketinggalan. Kita kini sudah melangkah di era dunia tanpa sempadan, siapa lembab akan ketinggalan dan terus berada berada di belakang bangsa-bangsa lain.
“Generasi muda khususnya Sungai perlu yakin diri untuk memulakan sesuatu yang boleh mengubah kehidupan, umpamanya bidang keusahawanan, selain bersaing untuk merebut tempat dalam sektor kerajaan dan swasta.
“Zaman kita sekarang Ini bukan lagi di tahun 70an atau 80an, di mana peluang kerja sedia menunggu apabila tamat belajar. Ini masa anak-anak muda mencipta peluang pekerjaan dan membina ekonomi sendiri dan keluarga,” kata beliau.

James berkata demikian semasa merasmikan Majlis Malam Jasamu Dikenang Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS) yang diadakan di FourPoints, Sandakan pada Sabtu.
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada SABAS khususnya kepada Presiden, Datuk Johari Janan dan barisan kepimpinan tertinggi SABAS di atas kejayaan mengadakan Majlis Jasa Mu Dikenang pada malam tersebut.
“Sesungguhnya kejayaan SABAS menganjurkan majlis apresiasi yang penuh bermakna ini merupakan sesuatu yang harus dibanggakan sesuai dengan perjuangan dan aspirasi besar persatuan SABAS untuk terus mengangkat martabat suku kaum Sungai di negeri Sabah.
“Saya percaya majlis pada malam ini akan menjadi satu lagi penanda aras untuk SABAS terus melangkah jauh ke hadapan dalam merialisasikan Visi dan Misi persatuan,” kata beliau.
Sementara itu, di pihak kerajaan, James berkata bahawa Kerajaan sentiasa memberikan sokongan kepada semuan termasuk belia dalam pelbagai bentuk, yang penting berani dan berusaha.
Dalam majlis itu, beliau turut meluluskan sumbangan sebanyak RM200 ribu untuk persatuan tersebut.