BASHIR (tiga kanan) Zamrul (dua kanan), Rozman ( tiga kiri), Fadhilah (kanan sekali dan Rohana (dua kiri) bersama peserta yang mengenakan pakaian tradisi kaum etnik.
LABUAN: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Haji Alias menyeru masyarakat Labuan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik supaya mempunyai rasa tanggung jawab memelihara dan mengekalkan warisan dan tradisi budaya masing-masing.
Beliau berkata, tanggungjawab itu penting untuk diteruskan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga untuk generasi akan datang.
“Saya menyeru agar semua pihak bukan sahaja oleh jabatan dan agensi kerajaan, tetapi juga sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama memelihara dan mengekalkan warisan dan budaya untuk generasi akan datang” katanya ketika berucap merasmikan Program Semarak@Muzium Wilayah Persekutuan Labuan 2022 di perkarangan bangunan Muzium Labuan, pada Sabtu.

MAKANAN TRADIRI…. Bashir (baju batik) bersama tetamu meninjau gerai pameran makanan tradisional Borneo
Bashir yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, yakin dengan adanya kerjasama penglibatan dan kehadiran masyarakat pelbagai kaum dalam menjayakan program Semarak@Muzium ini, membuktikan Muzium bukan sahaja menyimpan koleksi bersejarah bahkan merupakan sebuah intitusi yang dapat mendidik masyarakat mengenai dan memelihara warisan sejarah dan budaya bangsa.
Sementara itu, Pengarah Muzium Labuan, Rohana Hussin menjelaskan Semarak@Muzium Wilayah Persekutuan Labuan merupakan program untuk mengenali identiti dan budaya masyarakat pelbagai etnik dan suku kaum di Labuan seperti Kadayan, Melayu Brunei, Bajau, KadazanDusun, Bugis dan lain lain.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menaikkan semangat cintakan negara disamping mengukuhkan ikatan muhibah dikalangan masyarakat menerusi aktiviti kebudayaan.
Program Semarak@Muzium yang dianjurkan oleh Jabatan Muzium Labuan berlangsung selama dua hari 26-27 Febuari dengan menyediakan pelbagai pengisian antaranya pertandingan mewarna, pertandingan Gubahan Kraftangan Bahan Kitar Semula, pertandingan mengayam ketupat, pameran dan demontrasi pakaian tradiri suku kaum etnik yang terdapat di pulau ini, serta pameran makanan tradisional Borneo dan permainan gasing.
Hadir sama, Pengarah Muzium Negara, Zamrul Zakaria dan Ahli Parlimen Labuan merangkap Yang Di Pertua Persatuan Kadayan Labuan, Datuk Rozman Isli dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Fadhilah Mahmud.