26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Masjid Sirajul Islam Tanjung Aru anjur Program Baiti Jannati

SIJIL….. Kifli Awang Kanak menyampaikan sijil dan saguhati kepada Ustazah Azliena Md. Nor sambil diperhatikan oleh Ustaz Shahirul Abdullah selaku pengerusi majlis.

LABUAN: Masjid Sirajul Islam (MSI), Kampung Tanjung Aru telah berjaya mengadakan satu program “Program Baiti Jannati MSI 2021” bersama AJK Masjid Sirajul Islam dan jemaah masjid pada Sabtu lalu.

Program ini adalah satu usaha untuk menambah ilmu agama berkaitan ilmu kekeluargaan kepada jemaah masjid dan memupuk semangat cintakan keluarga di samping memupuk kerjasama dan mengukuhkan ikatan silaturrahim dalam kalangan jemaah dan masyarakat setempat.

Kursus yang diadakan pada 13 Mac 2021 bermula pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari di Masjid Sirajul Islam, Kampung Tanjung Aru, Wilayah Persekutuan Labuan itu disertai 50 orang peserta.

Ceramah pertama bertajuk Keluarga Sakinah telah disampaikan oleh Ustazah Azliena Md Nor, Guru Seoklah Rendah Agama Al-Lamudin, Kampung Sungai Bedaun.

Ceramah kedua pula bertajuk Tips Keluarga Bahagia disampaikan oleh Ustaz Haji Ahmad Sharizal Mohd Saffian, Pengurus Unit Cawangan Labuan, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Cawangan WP Labuan, Ustaz Mohd Zaki Mat Salleh menyampaikan ceramah ketiga bertajuk Baiti Jannati.

Pengerusi Masjid Sirajul Islam, Kampung Tanjung Aru, Kifli Awang Anak, berkata keluarga adalah unit terkecil di dalam satu-satu masyarakat namun pembangunannya secara langsung atau tidak adalah merupakan pembangunan masyarakat berkenaan.

Katanya, jika diperluaskan lagi konsepnya maka pembangunan masyarakat keluarga itu akan menjadi faktor penentu dalam pembangunan satu-satu bangsa itu.

Dalam hal itu, jelas beliau, adalah penting bahawa pembangunan keluarga dirancang dan dilaksanakan supaya meliputi segala aspek dan aktiviti kehidupan manusia amnya dan keluarga khususnya, dengan tumpuan perhatian kepada aspek-aspek sosial, ekonomi juga politik.

“Setiap keluarga mempunyai nilai dan maruah yang harus dipertahankan melalui peranan yang ada pada setiap ahli-ahli keluarga.

“Keharmonian berkeluarga boleh dicapai melalui hubungan baik antara semua ahli keluarga. Hubungan ini merangkumi perhubungan spiritual (agama), emosi seperti kasih sayang, sifat hormat-menghormati, bertanggungjawab, berpendidikan serta sifat-sifat kebendaan (pakaian, makanan, rumah dan sebagainya).

“Oleh itu, institusi keluarga adalah institusi yang terpenting dalam proses pembentukan individu yang sihat rohani dan jasmaninya, berilmu dan bermoral.”jelas Kifli Awang Anak.

Ketua Imam Masjid Sirajul Islam, Ustaz Haji Zainal Abdul Wahab pula menegaskan tujuan program ini ialah untuk memberi pengetahuan kepada jemaah masjid dan ahli qaryah tentang kepentingan menjaga keluarga yang bahagia dan mengukuhkan institusi keluarga.

Katanya, semua ibu dan bapa pada hakikatnya mengasihani anak-anak mereka dan menaruh cita-cita yang tinggi untuk menikmati kehidupan berkeluarga secara harmoni dan bahagia.

“Keluarga bahagia idaman semua. Ibu bapa yang menjadi pemangkin pengerat kasih sayang antara anak-anak.

“Jika kasih sayang sentiasa dikekalkan, inshaAllah kebahagiaan milik kita bersama.

“Semoga usaha murni pihak masjid ini memberikan satu impak yang amat berfaedah buat jemaah masjid dan ahli qaryah Kampung Tanjung Aru amnya,”katanya penuh harapan.

Sementara itu, Ketua Kampung Tanjung Aru, Haji Harun Damit berkata program ini adalah program pertama kali seumpamanya yang pernah diadakan di masjid ini pada tahun ini.

Beliau menzahirkan rasa bertuah dan bersyukur kepada pihak masjid kerana memberikan satu program yang amat berfaedah buat semua penduduk Kampung Tanjung Aru.

Semoga pihak masjid tidak berhenti untuk meneruskan kerja amal yang banyak manfaat buat warga kampung ini.

Beliau juga menzahirkan rasa terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang sudi menghulurkan bantuan dari segi kewangan, tenaga dan masa untuk Masjid Sirajul Islam.

“Semoga amalan bersedekah ini memberikan satu impak yang terbaik buat pihak masjid dan Jemaah MSI,”ujar beliau lagi.

Ahli Jawatankuasa Masjid Sirajul Islam, Abdul Sham Abd Rahman, menzahirkan rasa bertuah dan bersyukur kepada Allah kerana diberikan peluang untuk menyertai program ini pada kali ini.

Beliau amat terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh jemaah masjid dan penduduk setempat.

“Semoga ianya akan berterusan pada tahun akan datang.

“Ianya adalah gabungan bermatlamat untuk membina sahsiah unggul muslim sejati seterusnya melahirkan generasi yang berilmu dan beramal soleh,menanam kecintaan dan keyakinan kepada Islam dalam diri peserta agar mereka meyakini bahawa Islam adalah agama yang benar dan terbaik untuk kebahagian dunia dan akhirat.

“Melalui program ini ianya mampu membina benteng dalaman para peserta agar mempunyai nilai dan jati diri yang kukuh dan mampu menghadapi mehnah dan cabaran semasa, memahami bahawa kemenjadian diri adalah lahir daripada sahsiah dan kefahaman asas agama yang kukuh seterusnya mendorong kesedaran dan keinginan melakukan perubahan yang baik pada diri sendiri, kumpulan dan rakan sebaya serta berupaya memimpin,”kata Abdul Sham.

Program ini juga mendapat suntikan motivasi yang tinggi apabila diserikan lagi dengan kehadiran Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam WP Labuan, Ustaz Mohd Ghaus Musa.

Beliau bersama-sama dengan peserta lain mengikuti program sehingga selesai.

Dalam ucapan penutupannya, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa Masjid Sirajul Islam kerana berjaya menjayakan satu program yang amat baik buat seluruh anak kampung Tanjung Aru walaupun negara masih lagi dalam keadaan memerangi wabak COVID-19.

“Jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam program ini.

“Semoga ianya menjadi satu wadah untuk meningkatkan ilmu dan pengetahuan dalam kehidupan seharian.

“Kepekaan kita terhadap SOP dalam pengendalian program sebegini amatlah dituntut agar kita dapat mencegah dari penularan wabak yang berbahaya ini,”tegas beliau.

Seorang peserta, Sulaiman Abdullah berkata program ini adalah satu program yang amat baik dan perlu diteruskan pada masa akan datang.

Ujar beliau, jemaah masjid menjalinkan kerjasama erat dengan masjid lain dengan membantu membina keyakinan diri dan melatih diri untuk menjadi seorang muslim sejati.

“Program ini berjaya mencapai objektif yang telah dirancang kerana semua peserta memberikan komitmen yang tinggi untuk menyertai program ini hingga selesai,”kata Sulaiman.

Penyelaras program, Kifli Awang Anak dan semua AJK program merakamkan setinggi-tinggi terima kasih atas kerjasama dan kesungguhan semua AJK Masjid Sirajul Islam serta agensi-agensi dan pihak lain dalam menjayakan program kali ini.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang sanggup membantu bagi menjayakan program kali ini,”katanya.

Setiausaha Masjid Sirajul Islam, Ustaz Haji Zainal Abdul Wahab berharap semoga kerjasama dan silaturahim yang sedia terjalin dalam masyarakat dan peserta yang terlibat menjadi bertambah erat dalam usaha melahirkan generasi pemimpin yang mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan ummah dengan menghayati Islam sebagai satu cara hidup.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN