26 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Masjid Al Falah Kampung Bukit Kalam terima sumbangan Van Jenazah 

SIMBOLIK….Haji Kassim (tiga kanan) menyerahkan dokumen kenderaan Van Jenazah kepada Rahman sambil diperhatikan Bashir (empat kanan), Sharidah (kiri sekali), Ghaus (dua kiri), Shuhaimi (dua kanan) dan Mohd. Dzulfaizal (kanan sekali)


LABUAN: Masjid Al Falah Kampung Bukit Kalam menerima sebuah Van Jenazah sumbangan daripada Haji Kassim Karim yang juga seorang usahawan dan kontraktor tempatan yang berjaya.


Majlis penyerahan sumbangan tersebut diserahkan sendiri oleh Haji Kassim kepada Pengerusi Jawatan Kuasa Masjid Al Fallah Kampung Bukit Kalam, Rahman Jumaat dalam satu majlis ringkas di perkarangan masjid berkenaan, pagi Selasa.


Hadir sama menyaksikan majlis tersebut Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, Ketua Penolong Pegarah Kanan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, Ustazah Sharidah Zainal Abidin, Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pengurusan Masjid, JAWI Labuan, Ustaz Ghaus Musa, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan dan Ketua Kampung Bukit Kalam, Shuhaimi Haji Kula.


Terdahlu, Bashir ketika ditemui berharap dengan adanya van jenazah ini akan dapat membantu melancarkan pengurusan jenazah yang sebelum ini perlu mendapatkan bantuan daripada agensi yang berkaitan mahupun dengan Masjid berdekatan yang mempunyai Van Jenazah.


“Diharapkan dengan adanya van jenazah ini, ia dapat membantu melancarkan kerja kerja fardhu kifayah khususnya pengurusan jenazah bukan sahaja untuk keperluan kariah kampung Bukit Kalam tetapi juga kariah kampung yang berdekatan dengan Kampung Bukit Kalam” katanya.


Sementara itu, Haji Kassim ketika ditemui berkata usaha beliau bukanlah untuk menunjuk nunjuk atas kemampuannya mewakafkan sebuah van jenazah, tetapi sebagai manifestasi keprihatian keluhan masyarakat kampung yang menghadapi kesulitan sejak sekian lama dalam penghantaran jenazah ketika berlakunya sesuatu kematian di kampung Bukit Kalam.


“Bukan tujuan saya untuk menunjuk nujuk tetapi lebih bertujuan untuk mengulurkan bantuan atau sumbangan mengikut kemampuan saya sekaligus membantu ahli kariah Masjid Kampung Bukit Kalam” katanya.


Ketua Kampung Bukit Kalam, Shuhaimi Haji Kula, menzahirkan tanda kesyukuran kerana usaha beliau selama ini telah berhasil dalam mendapat kan sebuah Van yang akan digunakan sebagai Van Jenazah.


“ Van berkenaan akan diubah suai mengikut keperluan dan kesesuaian untuk membawa jenazah” katanya.


Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Al Falah, Rahman Jumaat berkata, pihaknya akan menggunakan sebaik mungkin van berkenaan bagi urusan jenazah ahli kariah masjid Bukit Kalam dan penduduk kampung sekitarnya.


“Kami bersyukur kerana hari ini ada dermawan yang telah sanggup untuk mewakafkan sebuah van jenazah dan ia juga sebagai contoh kepada mana mana individu yang berkemampuan untuk menyumbang kepada masjid bagi mendapatkan pulangan amal di akhirat nanti,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN