MASIDI: Hentikan Polemik pertukaran Pengarah Kesihatan Sabah.

MASIDI: Hentikan Polemik pertukaran Pengarah Kesihatan Sabah.

26/07/2021 Off By Admin

KOTA KINABALU: Polemik pertukaran
bekas Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi ke ibu pejabat di Kementerian Kesihatan (KKM) perlu dihentikan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tumpuan dan keutamaan ketika ini ialah usaha mengurus dan melawan ancaman penularan virus Covid yg semakin merunsing.

Katanya, peluang harus diberi kepada  Pengarah Kesihatan baharu, Dr. Rose Nani Mudin, yang juga anak tempatan daripada Papar, dan mempunyai latar belakang kepakaran yang sama dengan Dr. Christina, untuk membuktikan kewibawaan dan kemampuannya  mengurus ancaman Covid ini di negeri  ini.

Menurut Masidi, pertukaran Dr. Christina Rundi ke ibu pejabat di Kementerian Kesihatan (KKM) tidak ada kena mengena dengan isu kebenaran ‘dine-in’ yg diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN).

“Dr. Christina Rundi antara beberapa pegawai tinggi yang dikenalpasti ada potensi untuk memegang jawatan yang lebih tinggi di KKM dan beliau ditukar ke Ibu Pejabat sebagai persediaan untuk mengisi salah satu jawatan penting akhir tahun ini apabila penyandangnya bersara.

“Ketua Menteri Sabah sendiri telah merayu agar Dr. Christina dikekalkan di Sabah dalam keadaan kita sedang menghadapi ancaman pandemik Covid-19 yang serius.

“Kita sayang dan mengiktiraf dedikasi kerjaya Dr. Christina, kerana itu Kerajaan Negeri merayu agar beliau dikekalkan,” jelas Masidi.

Menurut Masidi lagi, beliau sendiri telah menghubungi Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr. Noor Hisham, merayu agar Dr. Christina dikekalkan atau sekurang kurangnya bertukar hanya pada hujung tahun.

Namun katanya, Noor Hisham memaklumkan keputusan ini adalah diperingkat Ketua Setiausaha Negara yang melibatkan pergerakan pertukaran pegawai-pegawai tinggi lain Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Pusat secara rasmi memaklumkan Kerajaan Negeri bahawa rayuan Kerajaan Negeri tidak dapat dipertimbangkan atas sebab-sebab keperluan perkhidmatan dan pergerakan pertukaran pegawai-pegawai tinggi di Kementerian yang terlibat,” katanya.