Robert bersama rombongan semasa meninjau Jalan Kebun Kampung Umpason
KENINGAU:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin terus memberi perhatian dengan masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan Bingkor.
Kelmarin beliau yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya bersama kakitangan Pejabat UPPM N.40 Bingkor serta Kakitangan Pejabat ADUN N.40 Bingkor melakukan lawatan ke Jalan Kebun Kampung Ulu Kikiran dan di Jalan Kebun Kampung Umpason.
Jalan Kebun Kampung Ulu Kikiran yang bersambung dengan Jalan Kebun Kampung Matanoi sebelum ini rosak dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan selama beberapa tahun kini boleh dilalui selepas diselenggara.
Seorang penduduk yang juga merupakan pengguna tetap jalan kebun tersebut Benjamin Gumbiron amat bersyukur dan berterima kasih kepada ADUN Bingkor kerana beliau kini boleh mengangkut keluar hasil pertanian dengan mudah selepas jalan tersebut diselenggara.
Sementara itu, Jalan Kebun Kampung Umpason yang menjadi laluan utama pekebun mengangkut keluar hasil pertanian seperti kelapa sawit, getah dan tanaman pisang telah siap diselenggara dan jauh lebih baik dari sebelumnya.
Dalam lawatan ini, Datuk Robert berpuas hati dengan kerja-kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan.
Seorang lagi pengguna tetap jalan kebun itu Aloysius Pani mengucapkan ribuan terima kasih kepada ADUN Bingkor kerana begitu prihatin terhadap permasalahan rakyat.
Katanya, semoga pelaksanaan projek penyelenggaraan jalan kebun di dua lokasi tersebut bermanfaat dan dapat membantu meningkatkan kuantiti dan kualiti aktiviti pertanian di kawasan tersebut.