Shahelmey (tiga kanan) menyarungkan topi keledar kepada pemandu motosikal semepan kempen keselamatan jalan raya menjelang Tahun Baru Cina.
TAWAU: Masalah bekalan air di daerah ini akan dapat diatasi apabila empangan air Cinta Mata siap sepenuhnya menjelang tahun 2026.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata empangan tersebut dapat membekalkan air yang mencukupi untuk jangka masa panjang kepada penduduk sekitar daerah Tawau.
“M
asalah air yang sering berlaku ini disebabkan oleh pelbagai punca, di kawasan Tawau sememangnya sumber bekalan air semakin kecil berbanding dengan permintaan.
“Maka itu, kita sedang membina empangan di Tawau yang dijangka siap menjelang tahun 2026 dan apabila empangan tersebut siap kelak maka jumlah bekalan air mentah untuk dirawat adalah mencukupi untuk jangka masa yang panjang.
“Selain daripada itu, kita juga giat menggantikan paip-paip yang bocor dan pam atau peralatan yang lama dan perlu diganti sebagai langkah memberi lebih efisien kerja-kerja di loji rawatan air.
“Pada tahun lepas juga, kita telah melatih panel-panel kontraktor bagi tujuan membaiki kerosakan paip dan peralatan yang rosak dengan ini sekiranya ada kerosakan berlaku dapat ditangani dengan cepat.
“Kita juga memantau kes-kes kecurian atas sambungan haram terhadap sistem agihan kita, jadi dalam perancangan jabatan air iaitu program mengurangkan kadar air yang tidak berhasil sedang berjalan dan kita berharap ianya dapat mencapai objektif yang dimahukan.
“Untuk jangka masa pendek, kita sedang membuat pemotongan penyambungan paip haram, saya juga diberitahu adanya agihan air melalui lori tangki yang sedang dijalankan, maka saya juga sudah maklumkan kepada jabatan air dan juga Kerajaan Negeri Sabah untuk memasukkan perolehan lori tangki yang baru dan juga tambahan sebagai penyelesaian,” ujarnya ketika ditemui media sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Daerah Tawau dan Kunak di Jambatan Putih Jalan Utara pada Khamis.
Dalam pada itu, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya turut mengingatkan kepada para pemandu agar lebih berhati-hati dan sentiasa peka terhadap amaran papan tanda jalan raya ketika musim perayaan.
“Hari ini kita mengadakan kempen keselamatan jalan raya sempena tahun baru cina yang menjelang tiba dan ini sering kita lakukan untuk menyedarkan pengguna jalan raya akan kepentingan aspek keselamatan semasa mengguna jalan raya terutama apabila musim perayaan, ditambah lagi dengan musim cuti sekolah, maka jumlah volume traffic itu dijangka tinggi melibatkan pengguna jalan raya yang melakukan perjalanan jauh daripada bandar dan balik ke kampung.
“Saya mengambil kesempatan untuk berpesan kepada pengguna jalan raya sempena musim perayaan ini agar sentiasa berhati-hati dijalan raya, pastikan kenderaan yang digunakan dalam keadaan baik, selamat digunakan dan juga kesihatan diri pemandu juga dalam keadaan baik.
“Bagi mereka yang melakukan perjalanan jauh, apabila merasa kepenatan bolehlah berhenti seketika, rehatkan badan untuk memastikan keadaan kesihatan fit untuk melakukan perjalanan di jalan raya.
“Di samping itu juga, jalan utama di sabah terutamanya jajaran Pan Borneo yang sekarang sedang rancak dalam fasa pembinaan jadi ada banyak papan tanda amaran semasa pembinaan diletakkan di sepanjang jalan.
“Jadi, saya minta kerjasama kepada pemandu-pemandu kenderaan di jalan raya untuk sentiasa peka, sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan diletakkan agar sama-sama dapat menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya sempena musim perayaan ini,” jelas beliau.
Turut hadir Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal. –Penerangan-



