Dius (tengah) menyampaikan borang keahlian UPKO kepada Joisin (tiga kiri) sambil disaksikan Terence (dua kiri).
KIULU: Mantan Timbalan Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kiulu, Dius Mongai menyerahkan borang untuk menyertai Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) pada Sabtu.
Menurut Dius beliau sependapat dengan bekas Ketua Pemuda STAR Pusat, Terrence Sinti yang telah keluar lebih awal setelah menyedari perjuangan parti itu terpesong daripada perjuangan asal.
“Saya juga telah hilang kepercayaan dengan kepimpinan STAR yang sebelum ini berjuang habis-habisan membawa agenda menumbangkan parti bukan tempatan.
“Namun selepas keputusan Pilihan Raya Ke-14, Datuk Dr Jeffrey pula bertindak menyelamatkan Barisan Nasional UMNO dengan menyatakan sokong kepada mereka. Pendirian ini tidak seiring dengan perjuangan asal STAR,” katanya.
Penyerahan borang keahlian itu disampaikan kepada Timbalan Ketua Bahagian UPKO Tuaran, Joisin Romut.
Ketika ditemui Joisin turut mengalu-alukan kemasukan Dius ke UPKO.
Katanya, dengan kemasukan itu ia juga menyumbang kepada kekuatan jentera pilihan raya parti UPKO.
“Pada Pilihan Raya Negeri kali ini, Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dijangka akan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri N.15 Kiulu.
“Ini merupakan satu berita yang menggembirakan kerana kita tahu Datuk Seri Madius telah menunjukkan pencapaian cemerlang di bawah pentadbirannya selaku Ahli Parlimen Tuaran dan Menteri Persekutuan sebelum ini.
“Kiulu telah berubah wajah. Antara pencapaian yang boleh dilihat adalah pembinaan jalan raya Telipok- Kiulu – Rondogung Ranau, penyaluran bekalan elektrik di kampung-kampung, penyukatan tanah, memperkasa program-program pendidikan dan banyak lagi,” jelasnya.
Justeru, sebagai tanda rasa terima kasih Joisin menyeru agar seluruh warga Kiulu menyokong Madius pada PRN yang dijadualkan berlangsung 26 September 2020.