RANAU: Penduduk di Kg Badukan Ranau digalakkan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan Mini Dewan yang baharu dibuka yang dibina di kampung itu agar kehidupan penduduk di sini lebih ceria dan produktif.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, kemudahan Mini Dewan adalah hadiah yang cukup bermakna kepada rakyat yang memerlukan pusat komuniti untuk melakukan pelbagai aktiviti berfaedah.
Beliau berkata, dengan siapnya kemudahan di sini, orang ramai boleh menganjurkan program yang dapat membangunkan lagi modal insan bagi seluruh kampung mengikut keutamaan mereka, seperti penganjuran kursus dan latihan berkaitan.
Selain itu, beliau berkata penduduk kampung khususnya golongan belia boleh melakukan aktiviti sukan dengan acara seperti badminton dan seumpamanya di dalam bangunan yang boleh mengelak mereka daripada terlibat dalam aktiviti tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah.
Abidin yang juga Adun Paginatan berkata demikian ketika berucap merasmikan program 3-dalam-1 iaitu Perasmian Mini Dewan Kg Badukan, Kesyukuran Kemenangan PDM Kandawayon dan Pemimpin Bersama Rakyat di sini pada Sabtu.
Beliau memberitahu pemimpin tempatan dan penduduk kampung di sini menjaga pusat kampung baharu itu dan memastikan penyelenggaraan Mini Dewan terjaga, serta mengutip bayaran minimum daripada mereka yang ingin bermain badminton di sini bagi membiayai bil elektrik bagi Dewan.
“Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peruntukan bagi memastikan pembinaan pusat ini yang menelan belanja kira-kira RM350,000. Semoga ini menjadi hadiah istimewa untuk penduduk di sini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat di sini atas sokongan yang diberikan kepada beliau semasa pilihan raya lalu, dan berharap rakyat akan terus menyokong semua pemimpin tempatan hari ini pada masa akan datang.
“Kami berharap dengan kesinambungan sokongan daripada rakyat, kami akan dapat menyalurkan lebih banyak pembangunan di seluruh konstituen Paginatan, dan daerah keseluruhannya pada masa depan,” katanya.
Dalam majlis itu, Abidin meluluskan peruntukan untuk membiayai kerja menaik taraf jalan menuju ke tanah perkuburan Kg Badukan dan kos pembaikan jambatan gantung kampung itu.
Beliau juga berjanji akan mendapatkan campur tangan pihak berkuasa yang berkenaan di peringkat atasan agar jalan di kampung itu suatu hari nanti dapat dinaik taraf.
Turut hadir Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan, Hishamuddin Harun, Penyelaras merangkap Setiausaha Star Paginatan, Juis Konsuling, Penolong Setiausaha, CDO Japili Sigal, Timbalan Wiramuda Star Paginatan, Hillary Ensil, Ketua PDM Kandawayon, Albert Ugau, dan lain-lain.