JAHID Dan isteri, Datin Malianah Ugau mengabadikan gambar kenangan bersama tuan rumah Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kg Suang Bangau, Tenghilan.
0leh: Ateng
TAMPARULI: Masyarakat disaran manfaatkan acara rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri sebagai ruang istimewa untuk saling untuk berkumpul bersama keluarga dan teman-teman.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, amalan saling kunjung-mengunjungi merupakan satu tradisi yang telah menjadi ciri khas keluarga, tetangga, dan sahabat setiap kali menjelang Aidilfitri dan perayaan lain yang ada di Sabah.
“Ambillah masa dan peluang ini untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga, tetangga, dan sahabat, agar kita dapat menghabiskan masa bersama-sama, berkongsi cerita, dan memperdalam ikatan yang telah terjalin,” katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa menghadiri Majlis Hari Raya Terbuka keluarga Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Tamparuli, Gustin Gagah di Kampung Suang Bangau Tenghilan.
Katanya, tradisi kunjung-mengunjungi semasa Hari Raya dapat memupuk nilai-nilai keharmonian dan toleransi dalam suasana yang penuh dengan kegembiraan dan keberkatan.
“Kunjungan ini menjadi peluang untuk melupakan segala perbezaan dan memperkuat persaudaraan antara individu dari latar belakang dan kepercayaan yang berbeza-beza, selain memberi peluang untuk saling bertukar cerita dan pengalaman.
“Seharusnya kita jadikan kunjungan semasa Hari Raya sebagai sebahagian daripada warisan budaya yang penting, agar kita dapat memelihara dan mengukuhkan identiti budaya, sambil menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya di sekeliling kita.
Majlis tersebut dihadiri para pemimpin masyarakat dari seluruh daerah kecil Tamparuli, termasuk para pemimpin parti politik tanpa mengira dari pihak pembangkang atau penyokong kerajaan.