Sabin (tiga kiri) melakukan penanaman anak pokok kelapa pada majlis tersebut.
KOTA KINABALU: Malaysian Kuwait Investment Co. Sdn. Bhd. menyumbangkan 5,000 anak pokok kelapa kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Mayor DBKK, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, sumbangan berkenaan akan digunakan bagi menjadikan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar hijau dan mesra alam selain memupuk semangat kerjasama beberapa agensi yang terlibat.
“Majlis pada hari ini mencerminkan semangat kerjasama yang luar biasa antara agensi kerajaan, sektor swasta, dan komuniti setempat yang membuktikan usaha kolektif pelbagai pihak dapat memastikan Kota Kinabalu berkembang sebagai sebuah bandar yang indah, hijau, dan mesra alam.
“Terima kasih kepada Malaysian Kuwait Investment Co. Sdn. Bhd. atas sumbangan 5,000 anak pokok kelapa jenis Malayan Red dan Yellow Dwarf kepada DBKK.
“Sebanyak 3,000 pokok akan ditanam di kawasan Kota Kinabalu melibatkan taman awam, kawasan lapang dan kawasan perumahan manakala selebihnya akan diagihkan kepada institusi pendidikan seperti sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), komuniti serta badan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya semasa Majlis Penyerahan CPC Projek Naik taraf Landskap Taman Rekreasi Pantai Tanjung Aru dan Penyerahan Anak Pokok Kelapa di Taman Awam Tanjung Aru, pada Khamis.
Sabin turut memaklumkan anak pokok yang selebihnya akan diagihkan kepada hotel, jabatan kerajaan, Universiti Malaysia Sabah, Mahkamah Syariah, Sabah International Convention Centre, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Taman-Taman Sabah, Jabatan Penerangan Sabah, Hotel Shangri-La Kota Kinabalu, Community-Based Tourism (CBT) Darau, Kobuni, Binaung dan Kokol serta PUSPANITA Cawangan Sabah.
Beliau menyeru semua pihak agar terus komited memainkan peranan masing-masing bagi memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai bandar raya yang bukan sahaja lestari dan mesra alam, tetapi juga menjadi model kecemerlangan yang progresif.
“Ini membuktikan apabila kita bersatu kita mampu mencipta impak besar yang melangkaui pembangunan fizikal, tetapi juga memupuk kelestarian, keharmonian, dan kesejahteraan masyarakat,” jelasnya yang turut memaklumkan
Projek Naik Taraf Taman Rekreasi Pantai Tanjung Aru yang bermula 17 Ogos lalu siap sepenuhnya pada 19 November 2024.
Menurutnya, Projek Naik Taraf Taman Rekreasi Pantai Tanjung Aru Adalah sebahagian daripada Program Kemajuan Projek-Projek Naik Taraf Taman Awam dan Persekitaran Kehidupan Tahun 2024, dengan kos keseluruhan berjumlah RM475,485.50 yang dibiayai oleh Jabatan Landskap Negara.
“Melalui kerjasama erat bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan pelaksanaan oleh kontraktor Tekad Maju Sdn. Bhd., taman ini telah melalui transformasi yang signifikan dengan elemen-elemen baharu antaranya Plaza Perhimpunan iaitu ruang yang direka khas untuk aktiviti berskala kecil dan pertemuan komuniti.
“Turut dibina laluan pejalan kaki sepanjang 650m dengan lebar 1.5m yang direka mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan pengguna warga emas serta bayi.
“Landskap menarik melalui penanaman pokok renek rendah penyelenggaraan seperti puding, bird’s nest fern, dan bunga Tekoma/Sakura yang memberi teduhan dan suasana sejuk selain kawasan permainan kanak-kanak berkonsepkan Sustainable Playground Equipment yang menggabungkan gelongsor, earth mound, dan tunnels dengan tumbuhan semulajadi.
“Taman ini tidak hanya bertujuan sebagai tempat rekreasi, tetapi juga menjadi mercu tanda kepada usaha pemuliharaan alam sekitar dan penyediaan kemudahan inklusif untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pengarah DBKK, Sr. Lifred Wong, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Landskap Jabatan Landskap Negara, Azrel Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Kuwait Investment Co. Sdn. Bhd., Mohd Shahrin Mohd Ali, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, Datin Sri Adreen Aderizza Mohamad Soffi dan Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor. – Penerangan-



