CENDERAMATA…Toh Puan Norlidah (tengah) menerima cenderamata daripada Mary (empat dari kanan).
KOTA KINABALU : Persatuan Sokongan Kanser Payudara Sandakan atau Sandakan Pink Ribbon akan menganjurkan majlis makan malam amal, Oktober depan.
Presidennya, Mary Alex Mansiw berkata majlis makan malam itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi memberi bantuan kebajikan kepada pesakit kanser payudara.
“Sempena menyambut Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia juga dikenali sebagai Pink Oktober, persatuan akan menganjurkan majlis makan malam amal pada 12 Oktober ini.
“Dana yang diperolehi nanti akan digunakan untuk memberi bantuan kebajikan kepada pesakit kanser payudara yang sangat memerlukan bantuan kewangan semasa menjalani rawatan selain juga bagi menjana dana persatuan.
“Selain itu, persatuan juga kini sedang giat melaksanakan pelbagai program antaranya program ceramah, forum, bengkel dan memberi tunjuk ajar kaedah yang betul untuk melakukan pemeriksaan sendiri,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Menurut Mary, kunjungan bertujuab untuk menjemput Toh Puan Norlidah untuk hadir sekaligus merasmikan majlis makan malam amal berkenaan.
Turut hadir, Naib-naib Presiden persatuan, Datin Winnie Khoo dan Kasmah Wahab, Setiausaha, Hazizah Mohamad dan Bendahari, Habibah Abdullah.-PENERANGAN