26 C
Kota Kinabalu
Jumaat, November 7, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Majlis Peringatan Gempa Bumi dan Penutupan Latihan Simulasi Ops Pengungsian Gunung Kinabalu

Para peserta Simulasi OPS Pengungsian Gunung Kinabalu selepas program selesai


KUNDASANG: Lebih kurang 70 orang peserta telah mengambil bahagian dalam Simulasi OPS Pengungsian Gunung Kinabalu yang berlangsung dari 3 hingga 5 Jun 2025 di Gunung Kinabalu.


Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, PKPjB Mohd Pisar Bin Aziz berkata, latihan ini melibatkan kawasan dari Panalaban hingga ke puncak Low’s Peak, Gunung Kinabalu.


Katanya, seramai 49 orang peserta berada di sekitar pergunungan dan 20 orang peserta di kawasan kaki gunung, telah menyumbang tenaga dan kepakaran mereka dalam menjayakan latihan ini.


“Melalui latihan simulasi seperti OPS Pengungsian ini, kita bukan sahaja menguji sistem koordinasi, Komunikai dan respons kecemasan pelbagai agensi, tetapi juga mendidik komuniti setempat termasuk pengusaha pelancongan, malim gunung, porter, dan penduduk agar lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.


“Saya percaya, latihan seperti ini perlu diteruskan dan dijadikan acara tahunan agar tahap kesiapsiagaan kita sentiasa berada pada tahap optimum. Kita tidak boleh leka atau alpa, kerana bencana tidak mengenal masa dan tempat,” katanya.


Beliau mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua agensi serta pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan latihan simulasi ini.


Antaranya termasuklah; Taman-Taman Sabah, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPSAS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Persatuan Malim Gunung, Persatuan Porter, Sutera Sanctuary Lodge (SSL), KOKTAS, Mountain Torq, dan Sabapak Eco Berhad.

Antara acara Simulasi OPS Pengungsian Gunung Kinabalu yang dijalankan dalam program itu


“Komitmen, semangat kerjasama dan kecekapan semua pihak dalam latihan ini amat membanggakan dan harus dijadikan contoh dalam pelaksanaan latihan seumpama ini pada masa akan datang.


“Teruskan komitmen anda dalam menjadikan Gunung Kinabalu bukan sahaja destinasi pelancongan unggul, tetapi juga kawasan yang selamat dan bersedia menghadapi apa jua cabaran,” katanya.


Mohd Pisar berkata demikian Sempena Majlis Peringatan Gempa Bumi dan Penutupan Latihan Simulasi Ops Pengungsian Gunung Kinabalu yang diadakan di sini pada hari Khamis.


Menurut beliau, majlis itu bukan sahaja menjadi platform untuk memperingati satu peristiwa tragis yang berlaku di Gunung Kinabalu suatu ketika dahulu, tetapi juga sebagai satu latihan kesiapsiagaan yang amat penting dalam memastikan keupayaan agensi-agensi penyelamat dalam menghadapi bencana alam di kawasan berisiko tinggi.


“Masih segar dalam ingatan kita, pada 5 Jun 2015, satu gempa bumi bermagnitud 6.0 telah menggegarkan daerah Ranau dan kawasan sekitarnya.


“Kejadian itu meragut nyawa 18 orang termasuk pendaki dan malim gunung serta mencederakan ramai yang lain.


“Tragedi itu mengubah cara kita melihat soal keselamatan di kawasan Gunung Kinabalu dan mencetuskan pelbagai langkah penambahbaikan dari segi infrastruktur, komunikasi dan pengurusan bencana,” jelas beliau.


Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah, Taman-Taman Sabah, Justinus Guntabid,
Ketua-ketua jabatan, wakil pelbagai agensi, para peserta latihan, dan lan-lain.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN