Mohd Rafi bermesra bersama komuniti Tionghua yang hadir pada majlis itu.
LABUAN:Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia, Datuk Mohd Rafi Ali Hasan menyifatkan Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina bersama Tokong Sin Ong Kong bukan sahaja meriah tetapi turut menyaksikan semangat muhibah dan keharmonian kekeluargaan yang begitu tinggi.
Beliau berkata, program tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk menghargai sumbangan serta komitmen berterusan komuniti dalam menjayakan aktiviti sepanjang tahun, malah turut memperkukuhkan jalinan silaturahim antara masyarakat
pelbagai kaum di Labuan.
Beliau yang hadir sebagai tetamu kehormat pada malam itu turut mengungkapkan kehadiran para tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat jelas mencerminkan semangat perpaduan, toleransi dan saling hormat menghormati yang menjadi asas kekuatan kita bersama.
” Inilah nilai yang perlu terus dipelihara dan diperkasakan demi memastikan keharmonian serta kestabilan sosial terus terjamin.
Semoga hubungan erat yang terjalin ini akan terus diperkukuhkan, seterusnya menjadi pemangkin kepada kesejahteraan, kemakmuran dan kemajuan Labuan secara keseluruhannya” katanya.
Majlis yang diadakan di salah sebuah resturan di sini pada Sabtu turut dihadiri oleh pemimpin komuniti tionghua yang ada di pulau ini.



