ADVERTISEMENTspot_img

Majlis Makan Amal PPPPPM Ranau Eratkan Silaturahim Pesara Pendidikan

PENGHARGAAN ….Datuk Raisin (tengah) menerima cenderahati yang disampaikan oleh Majus, sambil disaksikan para jemputan lain.

Oleh: Salwah Aramat

RANAU: Majlis Makan Amal anjuran Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM) berlangsung meriah di Dewan Masyarakat Ranau baru-baru ini, menghimpunkan pesara pendidikan dari seluruh daerah dalam usaha mengeratkan silaturahim serta menyokong aktiviti kebajikan persatuan.

Pengerusi PPPPPM, Majus Munsing, berkata penganjuran program itu bukan sahaja bertujuan mengumpul dana, malah menjadi platform memperkukuh hubungan dalam kalangan ahli serta menyemai semangat kebersamaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli dan tetamu yang hadir, sambil menegaskan bahawa golongan pesara pendidikan merupakan sumber pengalaman dan inspirasi penting kepada generasi pendidik masa kini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Haji Raisin Saidin, yang memuji komitmen PPPPPM dalam menganjurkan program bermanfaat walaupun melibatkan golongan pesara.

Menurutnya, pengalaman luas pesara pendidikan adalah aset berharga yang masih boleh dimanfaatkan dalam pembangunan sektor pendidikan negeri, justeru hubungan antara pesara dan warga pendidikan semasa perlu terus diperkukuh.

Sebagai gimik perasmian, satu tayangan khas memaparkan aktiviti persatuan telah dipersembahkan, sekali gus membangkitkan rasa bangga dalam kalangan hadirin terhadap sumbangan berterusan golongan berkenaan.

Majlis turut diserikan dengan persembahan karaoke yang memberi peluang kepada hadirin menonjolkan bakat masing-masing, sekali gus mewujudkan suasana santai dan penuh kemesraan.

Secara keseluruhan, program itu bukan sahaja mencapai objektif penganjurannya, malah berjaya memperkukuh ukhuwah serta menghargai jasa pesara pendidikan, dengan harapan ia dapat diteruskan pada masa hadapan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN