PATUH SOP…..Airine (duduk kanan) dan bapanya Abidin (berdiri empat dari kiri) bersama antara ahli keluarga yang hadir.
TELUPID: Suasana pandemik Covid-19, tidak menghalang keluarga Abidin Bin Garaki 74 bersama isteri tersayangnya, Muyah Ganguton 65, untuk mengadakan Majlis ‘Hari Keluarga’ di rumah kediaman mereka di sini baru-baru ini.
Majlis tahunan itu berjaya menghimpunkan seramai 21 ahli keluarga mereka dengan pematuhan SOP bagi mencegah dan memutuskan jangkitan Covid-19.
Anak ketiga dalam lima beradik selaku jurucakap majlis Hari Keluarga itu, Airine@Bagang Abidin, memberitahu sambutan hari keluarga mereka setiap tahun dapat memupuk serta mengekal dan meningkatkan kebahagian serta ikatan kekeluargaan dikalangan mereka walupun tinggal berjauhan mengikuti keluarga (suami-isteri) di tempat kerja masing-masing.
“Majlis ini merupakan acara penting keluarga kami setiap tahun selain kami berkumpul semasa menyambut Hari Krismas,” jelas Airine.
Menurutnya, majlis sambutan mereka tahun ini, walaupun agak hambar berbanding dengan sambutan tahun-tahun sebelumnya namun tetap meriah walaupun diadakan secara sederhana, berikutan pandemik Covid-19.
“Kami tetap bersama walaupun dalam suasana pandemik Covid-19 menjadi kekangan kepada saudara kami yang lain untuk datang”, tambah Airine.
Majlis diserikan dengan acara memotong ‘Kek Hari Keluarga’ dan sesi bergambar ramai untuk mengakhiri majlis.