KENANGAN……..AJK Masjid Al-Kauthar Kg. Lohan merakam gambar bersama Datuk Jonathan (duduk tengah) pada majlis itu.
RANAU: Suasana Ramadan di Kampung Lohan diserikan dengan penganjuran majlis berbuka puasa yang berlangsung dalam suasana sederhana namun meriah di Masjid Al-Kauthar, baru-baru ini.
Majlis berkenaan menghimpunkan penduduk kampung yang hadir bagi mengeratkan silaturahim serta bersama-sama menunaikan ibadah berbuka puasa dalam suasana penuh keberkatan.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, bersama Ketua Pegawai Pejabat Parlimen Ranau, Benedict Gunda serta beberapa kakitangan pejabat berkenaan yang meluangkan masa bersama masyarakat setempat.
Ketibaan beliau disambut mesra oleh penduduk kampung dan jawatankuasa masjid.
Program dimulakan dengan aktiviti gotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa sebelum para hadirin berbuka bersama-sama. Selepas itu, jemaah menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di masjid berkenaan.
Majlis seumpama itu bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, malah turut memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk.
Program berakhir dalam suasana harmoni dengan harapan agar semangat perpaduan dan ukhuwah terus diperkukuh dalam komuniti setempat.-OLEH SALWAH ARAMAT



