30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Majlis Anugerah Cemerlang SK Pekan Satu dinantikan murid dan ibu bapa

YAHYA… menyampaikan Anugerah Ikon Murid Gemilang SK Pekan Satu kepada Nur Batrisyia Mohamad Faisal yang menerima hadiah dan sijil penghargaan. Turut kelihatan Anita (lima kiri).

LABUAN: Penghargaan dan pengiktirafan yang diberikan kepada murid merupakan antara majlis yang dinantikan oleh semua murid dan ibu bapa.

Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Yahya Ahmad Puteh berkata, pihak sekolah harus menghargai murid yang sudah menempah kejayaan dan mengharumkan nama sekolah sama ada dalam bidang akademik, sahsiah mahupun kokurikulum.

“Majlis penghargaan yang dilaksanakan hari ini juga dianggap sebagai perhubungan antara pihak sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam meningkatkan kecemerlangan murid di sekolah,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS) Wilayah Persekutuan Labuan Sesi 2022/2023 yang diadakan di Dewan CUN sekolah itu pada 12 Februari lalu.

Tambah Yahya, Majlis Anugerah Cemerlang yang dilaksanakan di setiap sekolah menjadi pendorong kepada murid untuk terus bersaing dan lebih berjaya pada masa akan datang.

Beliau berkata majlis itu juga diadakan adalah bertujuan memberi penghargaan kepada murid-murid yang cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah.

“Penganugerahan ini juga diharapkan dapat memberi motivasi kepada murid-murid agar terus cemerlang,”katanya.

Sementara itu, Guru Besar, Anita Shyamini S. Azman mengucapkan tahniah kepada semua murid yang cemerlang sepanjang sesi persekolahan 2022/2023.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang bukan sahaja hadir memeriahkan majlis tersebut tetapi juga sentiasa bekerjasama menjayakan pelbagai program anjuran SK Pekan Satu.

“Saya berharap agar lebih ramai lagi murid yang bergiat aktif dan bersaing secara sihat di peringkat sekolah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa,”katanya sambil merakamkan ucapan penghargaan kepada semua guru SK Pekan Satu.

Pada majlis itu, murid Tahun Enam, Nur Batrisyia Mohamad Faisal dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Murid Gemilang SK Pekan Satu Sesi 2022/2023.

Majlis itu dimeriahkan dengan persembahan oleh murid-murid kepada para tetamu.

Antaranya, tarian tradisional Melayu dan India, persembahan petikan ukulele dan persembahan nyanyian Bahasa Cina yang membuat tetamu terhibur dengan hasil usaha dan bakat murid yang digilap oleh guru-guru.

Turut hadir Yang Dipertua PIBG, Salehhuddin Wasli, Pegawai Perhubungan Sekolah, Inspektor Nur Sharmila Nageswararavo dan Sarjan Alice Alisha Safisya serta barisan pentadbir SK Pekan Satu.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN