Radzaleih (empat dari kiri) menyerahkan raplika chek bantuan MAIWP sambil diperhatikan oleh tetamu jemputan khas pada majlis tersebut.
LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan menyalurkan Bantuan Insentif Modal Perniagaan berjumlah RM426,826 kepada 84 orang usahawan asnaf MAIWP.
Timbalan Pengurus MAIWP Labuan Mohd Radzaleih Matusin berkata, bantuan itu bertujuan untuk membantu usahawan asnaf memulakan dan mengembangkan perniagaan yang mereka usahakan.
“Selain itu MAIWP Labuan juga menghulurkan bantuan sesi persekolahan membabitkan peruntukan berjumlah RM5. 3 juta bagi tempoh Januari hingga November tahun ini. Bantuan tersebut bagi memastikan anak-anak asnaf dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih selesa tanpa menghadapi bebanan kewangan”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kesenian Islam 2025 anjuran bersama MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Ujana Kewangan Wilayah Persekutuan Labuan, pada Ahad lalu.
MAIWP juga jelasnya telah menyalurkan sebanyak RM2.9 juta menerusi Bantuan Am Pelajaran dan Persediaan Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepanjang tahun ini untuk memastikan golongan asnaf tidak tercicir dalam arus pendidikan tinggi, seterusnya membuka peluang kepada mereka untuk meningkatkan taraf hidup melalui ilmu dan kemahiran profesional.
Menyentuh mengenai karnival, beliau berkata ia mencerminkan komitmen MAIWP Labuan dalam mendekati masyarakat melalui pendekatan yang seimbang antara ilmu, kerohanian dan seni Islam.
“Program ini dirangka bukan sekadar sebagai platform hiburan atau pertandingan, tetapi sebagai medium pendidikan yang memberi pendedahan kepada penerima bantuan Baitulmal tentang kepentingan membina jati diri berteraskan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian,” katanya.
Karnival tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran aktivis kemanusian yang juga seorang artis Haliza Helmi.
Pada majlis itu Haliza berkongsi pengalaman ketika menyertai misi kemanusiaan Sumod Protilla bersama adiknya Hazwani Helmi ketika membantu menghantar makanan ke Gaza Pelastin sebelum ditahan oleh tentera Zionis.
Turut hadir majlis perasmian karnival Timbalan Pengurus Pusat Pungutan Zakat (PPZ) cawangan Labuan, Mohammad Haziq Abang
Sapri, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan, Ustaz Suhaimi Mohd Yusuf dan Penolong Pengarah Unit Adab dan Nilai, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Ustaz Syahnon Othman.



