Mohamad mengedarkan bubur lambuk semasa acara
BONGAWAN: Keindahan Ramadan dizahirkan melalui semangat kebersamaan apabila mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) turun padang bersama komuniti Kampung Kuala Lumagar di sini menerusi Program Rewang Bubur Lambuk dan Berbuka Puasa Bersama Komuniti sempena inisiatif Semarak Ramadan, Gemilang Syawal (SE’RASY) – Edisi Ramadan.
Program anjuran Exco Kesukarelawanan dan Kemasyarakatan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Kolej Kediaman Antarabangsa Kingfisher sesi 2025/2026 dengan kerjasama Persatuan Prihatin Citra Sabah (PPCS) itu menghimpunkan mahasiswa, belia kampung dan penduduk setempat bagi menyediakan bubur lambuk secara gotong-royong untuk diagihkan kepada komuniti sekitar.
Inisiatif tersebut bukan sahaja memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara universiti dan masyarakat luar bandar.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Keusahawanan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin yang meluangkan masa menyantuni masyarakat serta mahasiswa menjelang waktu berbuka puasa.
Turut hadir wakil Majlis Perwakilan Pelajar UMS serta Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Kuala Lumagar yang bersama-sama menjayakan program tersebut.
Penganjur berharap inisiatif SE’RASY – Edisi Ramadan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat serta menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.



