TAMPARULI – Kesediaan kerjasama dalam pasukan dan setia kawan adalah prinsip Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) terutama dalam perjuangan mempertahankan tampuk kuasa sebagai kerajaan negeri.
Membuat perumpamaan kesepakatan dan kerjasama seperti bermain bola sepak, Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata setiap parti di dalam Warisan Plus mempunyai posisi masing-masing yang dikira penting dalam memastikan kemenangan.
“Jika kita tidak bekerja dalam satu pasukan kita akan kalah. Kita perlu permudahkan urusan dan jangan bikin susah.
“Bagi UPKO kemenangan dalam ketenangan menjadi ukuran dan tekad untuk menubuhkan kerajaan. Kita bertanding bukan untuk syok sendiri atau untuk memegang jawatan Yang Berhormat.
“Kerjasama dan rundingan kita telah dibuat secara terperinci bersama Warisan, PKR, DAP dan Amanah dan kita akan memberikan sokongan 100 peratus untuk setiap calon yang telah dipilih dalam gabungan Warisan Plus,” katanya semasa memberi ucapan di Majlis Perjumpaan Khas Jentera PRN UPKO N.14 Tamparuli bersama calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) – Warisan Plus, Alijus Sipil.
Madius menjelaskan bahawa rangkaian jentera UPKO di kawasan N.14 Tamparuli telah bersiap siaga untuk memberikan sokongan padu kepada calon PKR-Warisan Plus dalam memastikan kemenangan majoriti untuk Warisan Plus.
“Kita yakin dengan kemampuan jentera UPKO yang sudah bersedia sejak Julai 2018, dimana rangkaian jentera UPKO di Tamparuli ini telah disusun dengan rapi menjadi sistem penyampai, pelayanaan khidmat kepada rakyat setempat,” katanya.
Menurut Madius terdapat seramai 8, 000 ahli UPKO di kawasan DUN N.14 Tamparuli iaitu 60 peratus daripada jumlah pengundi di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Madius turut menyifatkan PRN Sabah Ke-16 ini sebagai ibu segala pilihanraya.
“Pilihanraya kali ini adalah penentu dan ibu segala pilihanraya . Demokrasi telah dikhianati oleh pihak-pihak tertentu yang menggunakan tekanan dan kuasa untuk merampas mandat yang telah diberikan oleh rakyat.
“Sesebuah kerajaan itu adalah terbentuk daripada kehendak rakyat untuk kemajuan, kebajikan dan kemakmuran rakyat. Ianya bukan dibentuk atas kehendak pemimpin tertentu atau kehendak beberapa orang wakil rakyat.
“Kerajaan negeri Warisan Plus baru dua tahun mentadbir urus negeri Sabah dan kita sebenarnya telah merancang pelbagai pelan dan program yang fokusnya adalah untuk pembangunan dan kebajikan rakyat, jadi kita mohon kepada rakyat untuk sambung lima tahun lagi untuk kerajaan negeri merealisasikannya,” katanya.