Madius ketika membuat penggulungan sesi bual bicara semalam.

Madius ketika membuat penggulungan sesi bual bicara semalam.

19/07/2021 Off By Admin

Madius ketika membuat penggulungan sesi bual bicara semalam.

KOTA KINABALU, 19 Julai: Pelantikan dari segi kepimpinan parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sejak daripada mulanya adalah berasaskan kepada kepelbagaian kaum.

Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau memaklumkan, sejak dahulu lagi pucuk kepimpinan tertinggi parti hingga ke peringkat bahagian dan cawangan menyaksikan terdapat kepimpinan yang bukan berbangsa Momogun.

“Cuma fokus perjuangan UPKO pada ketika itu telah terbentuk dengan dipengaruhi oleh persekitaran politik Barisan Nasional di mana parti-parti komponen adalah berasaskan suku kaum.

“Walau bagaimanapun, kita sebenarnya sudah terdiri daripada kepelbagaian kaum dan agama seperti Cina dan Bajau termasuk kaum orang-orang asli di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan terhadap program Bual Bicara UPKO yang diadakan secara atas talian bertajuk UPKO Peneraju Perjuangan Rakyat Siri 2, semalam (18 Julai 2021).

Bual bicara anjuran Biro Penerangan UPKO itu menampilkan Timbalan Presiden UPKO, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin; Naib Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedict; dan Exco Wanita UPKO, Mohina Sidom; serta Setiausaha Penganjur UPKO, Dr Monih Epin selaku pemudahcara.

Menurut Madius, jika dahulu fokus perjuangan ke arah negara maju dalam konteks bangsa Momogun, UPKO kini memperjuangkan rakyat jelata secara keseluruhan ke arah sebuah negara maju dan progresif.

“Perjuangan itu telah diperluaskan dan bukan lagi berfokus kepada kaum-kaum tertentu sahaja.

“Daripada Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu kepada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu. UPKO kini memperjuangkan seluruh rakyat jelata berpaksikan kepada nilai prinsip kepimpinan perjuangan asal,” katanya.

Sesi tersebut turut bersiaran melalui Zoom

Mengulas lanjut, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran memaklumkan bahawa UPKO ketika ditubuhkan berpegang kepada Principal-Centered Leadership atau Kepimpinan yang Berprinsip.

“Konsep kepimpinan itu diperkenalkan oleh Presiden UPKO pada ketika itu iaitu Tan Sri Bernard Dompok dengan menggunakan buku Steven Covey sebagai buku panduan kepimpinan parti. Sebuah kepimpinan yang berasaskan kepada sesuatu yang kita percaya.

“Selepas dipilih menjadi Presiden, saya mengekalkan konsep kepimpinan yang baik ini, di samping menambahkan sedikit konsep sedia ada kepada kepimpinan yang berprinsip dan berpelayanan (servanthood),” jelasnya.

Ujar Madius, penghayatan dan pelaksanaan misi dan visi UPKO ini diterjemahkan daripada peringkat kepimpinan tertinggi hingga ke peringkat cawangan.

“Contohnya malam ini (semalam) kita telah melihat perkongsian Datuk Ewon bagaimana pengalamannya di peringkat kawasan sebagai Ketua Bahagian dan juga wakil rakyat.

“Begitu juga dengan Datuk Donald sebagai seorang senator dan saudari Mohina sebagai Exco Wanita,” katanya sambil mengajak ahli-ahli UPKO dan seluruh rakyat mengikuti program bual bicara tersebut yang bersiaran pada setiap Ahad pukul 8.00 malam.

Bual bicara yang berlangsung kira-kira satu jam 30 minit itu disiarkan melalui aplikasi Zoom dan laman facebook UPKO Malaysia.