Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau bersama ahli parlimen Jerlun, Kuantan, Lembah Pantai dan Ahli Parlimen Petaling Jaya membentangkan usul pemotongan RM85,549,200.00 yang diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), hari ini.
Selaku pembentang pertama perbahasan bajet peringkat jawatankuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Madius menyenaraikan empat sebab utama peruntukan harus dipotong terhadap JASA yang kini dijenamakan sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).
“Sebab pertama, JASA merupakan agensi bertindih dengan beberapa agensi kerajaan yang telah pun wujud seperti Unit Komunikasi Korporat setiap kementerian, Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
“Sebab kedua kerana belanjawan yang diperuntukan kepada JASA diambil daripada agensi kerajaan lain seperti komunikasi strategik (RM3 juta) dan Jabatan Penerangan (RM10 juta) untuk tujuan berpolitik,” katanya.
Sebab ketiga, Madius membahaskan adalah tidak adil menggunakan duit rakyat dan pembayar cukai dibelanjakan bagi menyebar propaganda politik sedangkan terdapat keperluan mendesak untuk mendepani pandemik Covid-19.
“Sebab keempat, adalah lebih baik peruntukan RM85 juta disalurkan kepada Kementerian Kesihatan seperti yang dijelaskan di dalam usul-usul saya yang lain. Ia bagi membantu menangani pandemik Covid-19 yang masih mencatatkan kes positif setiap hari khususnya di Sabah,” katanya.
Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian dalam Persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Walau bagaimana pun usul tersebut ditolak apabila memperoleh 100 undi berbanding 107 undi yang menyokong peruntukan JASA diluluskan. 13 ahli parlimen lain tidak hadir dalam dewan.
Pada perbahasan itu, kerajaan melalui Timbalan Menteri Kewangan, Abdul Rahim Bakri terlebih dahulu mengumumkan pengurangan peruntukan JASA dari RM85.5 juta kepada RM40.5 juta.
Tamat