25 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 12, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

MACP Perkukuh Program di Sabah, Sarawak Tingkat Kesedaran Hak Cipta Karya Muzik

Wang (kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media, Dr Diana Dominic.


KOTA KINABALU : Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) akan terus memperkukuh program di Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan kesedaran hak cipta karyawan seni muzik serta perlindungan karya.

Ahli Lembaga Pengarah Pencipta MACP mewakili Malaysia Timur, Roger Wang berkata tahun ini MACP menganjurkan dua acara di Sabah dan turut merancang untuk menganjurkan kira-kira empat acara setahun di Sarawak pada masa depan bergantung kepada sumber dan kapasiti yang ada.

“Tahun ini kami sudah menganjurkan dua acara di Sabah dan maklum balas sangat positif. Banyak bakat baharu muncul dari Sabah dan Sarawak malah ahli sendiri meminta agar kehadiran MACP diperluas di Malaysia Timur. 

“Dengan perkembangan era digital, jumlah pencipta dari Sabah dan Sarawak semakin meningkat dengan ketara serta ahli-ahli badan berkenaan turut menuntut agar MACP memperkukuh perkhidmatan.

“Dengan lebih banyak program di Sabah, kami ingin mendekatkan diri dengan penggiat muzik dan meningkatkan kesedaran hak cipta,” katanya kepada media dalam satu sesi Majlis Ramah Mesra MACP Bersama Media baru-baru ini.

Menurut Wang, jumlah ahli MACP di Malaysia Timur sekitar 500 orang bersamaan tujuh peratus daripada keseluruhan ahli MACP di negara ini.

“Tahap kesedaran mengenai fungsi MACP di Malaysia Timur masih rendah berbanding Semenanjung walaupun ramai pernah mendengar mengenai kutipan dan pelesenan.

“Ramai komposer sebenarnya tidak benar-benar tahu peranan MACP atau tidak yakin untuk menjadi ahli. Selain itu, kami dapati ramai tidak tahu menggunakan platform dalam talian MyKarya yang membolehkan mereka menyemak pendaftaran lagu dan kutipan royalti,” ujarnya.

Wang juga memaklumkan syarat keahlian kini dipermudah iaitu hanya memerlukan satu lagu yang aktif di platform penstriman dengan sekurang-kurangnya 1,000 tontonan untuk layak mendaftar./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN