KUALA LUMPUR : 2026
Ahli Dewan Negara (Senator), Datuk Bobbey Suan menegaskan bahawa pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diselesaikan secara tuntas dan berani sebelum Pilihan Raya Umum akan datang bagi memastikan hak Sabah dan Sarawak terus terpelihara dalam kerangka Persekutuan.
Menurut beliau, selepas lebih lima tahun isu tersebut berulang kali dibangkitkan di Parlimen dan Dewan Negara, sudah tiba masanya keputusan muktamad dicapai selaras dengan semangat Perlembagaan serta seruan Yang di-Pertuan Agong agar perkara berkaitan hak wilayah diselesaikan secara menyeluruh dan harmoni.
“MA63 adalah asas pembentukan Malaysia yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dalam satu Persekutuan berdaulat. Hak-hak wilayah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mesti dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Negara.
Beliau menegaskan sebarang perbezaan pandangan berkaitan MA63 hendaklah diselesaikan secara matang melalui rundingan institusi dan saluran perundangan, dengan Kerajaan Persekutuan bersikap terbuka, profesional dan konstruktif demi perpaduan negara.
Isu Petroleum dan Tuntutan 40 Peratus
Menyentuh isu petroleum, beliau berkata walaupun perkara tersebut tidak dinyatakan secara spesifik dalam teks MA63, ia berkait rapat dengan kerangka pembahagian kuasa dan hasil antara Persekutuan dan wilayah.
“Sabah dan Sarawak merupakan penyumbang utama industri minyak dan gas negara. Apabila isu ini dibangkitkan, ia bukan ancaman kepada Persekutuan tetapi tuntutan berasaskan hak yang wajar dirunding secara matang dan berkerangka,” jelasnya.
Beliau turut merujuk pendirian Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, yang menegaskan pelaksanaan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah perlu dilaksanakan selaras dengan Perkara 112C dan 112D serta Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Bobbey, tuntutan tersebut berlandaskan prinsip keadilan fiskal dan pembangunan saksama, khususnya ketika Sabah masih berdepan cabaran asas seperti bekalan air, elektrik dan infrastruktur jalan raya.
Keselamatan Digital dan Integriti
Selain MA63, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh integriti institusi serta menangani ancaman keselamatan digital termasuk jenayah penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.
Katanya, ancaman masa kini tidak lagi terhad kepada sempadan fizikal, sebaliknya semakin serius di ruang digital termasuk penyebaran maklumat palsu, manipulasi teknologi ‘deepfake’, ekstremisme dan jenayah siber.
Beliau menggesa kerajaan memperkukuh undang-undang berkaitan jenayah siber serta mempertimbangkan hukuman tegas termasuk muflis dan penjara mandatori terhadap pelaku yang disabitkan kesalahan.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan langkah proaktif seperti memperluas literasi digital dan kewangan hingga ke peringkat akar umbi, mewujudkan pusat respons pantas bagi pembekuan segera akaun mencurigakan serta memperkukuh kerjasama antara bank, syarikat telekomunikasi dan agensi penguat kuasa.
“Keselamatan digital hari ini adalah sebahagian daripada keselamatan negara. Kita tidak boleh membiarkan rakyat terus menjadi mangsa,” tegasnya.
Isu Konsulat Asing di Sabah.
Mengulas polemik cadangan pembukaan konsulat India di Sabah, beliau berkata perkara itu perlu dilihat secara rasional dan berasaskan fakta.
Menurutnya, dalam amalan diplomatik antarabangsa, pembukaan konsulat adalah perkara lazim bagi memudah cara urusan perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan serta kebajikan warganegara.
Pada masa sama, beliau berpandangan bahawa keperluan strategik pembukaan konsulat Filipina juga wajar dipertimbangkan memandangkan jumlah warganegaranya yang ramai di Sabah serta pelbagai isu dokumentasi dan sosial yang memerlukan penyelesaian rasmi melalui saluran kerajaan-ke-kerajaan.
Sehubungan itu, beliau memohon Menteri Luar Negeri menjelaskan secara terbuka rasional, skop fungsi dan implikasi pembukaan konsulat berkenaan bagi mengelakkan salah faham serta persepsi negatif yang tidak berasas.
Komitmen Reformasi dan Keadilan Wilayah
Mengakhiri perbahasan, Bobbey menegaskan bahawa Titah Diraja menuntut komitmen berterusan terhadap reformasi institusi, pengukuhan integriti, jaminan keselamatan dan pelaksanaan semangat MA63 secara bertanggungjawab.
“Negara hanya akan benar-benar progresif apabila kuasa diurus dengan amanah, institusi diperkukuh tanpa pilih kasih, rakyat dilindungi daripada ancaman baharu dan keadilan dilaksanakan secara seimbang antara Persekutuan dan wilayah,” katanya.



