ADVERTISEMENTspot_img

Lima remaja didakwa Rabu ini berhubung kes buli Zara Qairina



KUALA LUMPUR: Lima remaja bawah umur akan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu ini, berhubung kes buli membabitkan pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, yang mencetuskan perhatian dan kemarahan orang ramai.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata semua tertuduh berusia bawah 18 tahun dan akan dihadapkan ke mahkamah berkenaan bagi proses pertuduhan rasmi.

“Seramai lima orang akan dituduh pada Rabu ini di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, kerana kesalahan berkaitan kes buli Allahyarham Zara Qairina. Mereka berusia di bawah 18 tahun,” katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan rasmi mengesahkan pihaknya meneliti kertas siasatan polis sebelum membuat keputusan menuduh beberapa individu terbabit berdasarkan keterangan yang diperoleh.

AGC menjelaskan, keputusan menuduh suspek bagi kesalahan buli tidak akan menjejaskan prosiding inkues kematian Zara Qairina yang sedang dijalankan di mahkamah.

Katanya, siasatan polis berhubung kematian remaja berusia 13 tahun itu akan tetap diteruskan selari dengan prosiding inkues yang berlangsung.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN