Sesi foto kedua-dua pasukan sebelum memulakan perlawanan.
KOTA BELUD : Likas United tewas 0-3 kepada Tangka FC dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Padang Kuala Abai.
Gol pertama Tangka FC dijaringkan oleh penyerang utama, Anjani Besari menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan oleh penjaga gawang Likas United, Fahmi Razak.
Tangka FC terus melebarkan jarak selepas menjaringkan gol kedua menerusi tandukan oleh pemain tengan, Jasran Sadi yang menerima lambungan dari pemain sayap kanan, Supian Musa sebelum wisel tamat separuh masa pertama ditiupkan.
Pada separuh masa kedua, Likas United berusaha untuk mengimbangi perlawanan dengan melakukan beberapa serangan yang hampir menerobos gawang Tangka FC.
Namun pada minit akhir perlawanan asakan bertubi-tubi Likas United memakan diri apabila kealpaan di bahagian pertahanan menyaksikan serang balas oleh Tangka FC membuahkan satu lagi gol menerusi tandukan oleh Anjani hasil hantaran lintang oleh Supian. -Penerangan-