ADVERTISEMENTspot_img

Lesen motosikal percuma : James Ratib

James (kanan) menyantuni belia-belia semasa hadir melancarakan Program Kelas Memandu dan Lesen Motor Percuma di Paitan, pada Jumaat.

PAITAN: Seramai 150 individu dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Sugut, bakal mendapat lesen motosikal B2 secara percuma.

Berita baik itu diumumkan sendiri wakil rakyat Sugut, Datuk James Ratib, semasa melancarkan Kelas Memandu Daerah Paitan, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, mereka yang mendaftar awal dan berkelayakan akan dibiayai sepenuhnya melibatkan kos pendaftaran, latihan, ujian dan amali.

“Program ini akan dilaksakanan seawal tahun depan (2025) dengan kerjasama Akademi Memandu Ramah Sdn Bhd.

“Pihak akademi juga bersetuju menyediakan kemudahan litar motosikal berstatus sementara di daerah Paitan bagi menjayakan program ini.

“Ini memudahkan mereka yang terpilih menjalani latihan di litar tanpa perlu ke Sandakan,  sekaligus menjimatkan kos perjalanan yang jauh menghadiri sesi latihan,” katanya.

James yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah mencadangkan agar ujian praktikal JPJ dibuat di litar sementara.

Bagi tujuan itu, katanya, satu perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diadakan kelak.

Dalam pada itu, program tersebut bertujuan untuk membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan lesen memandu sah.

Di samping itu, ia juga bagi meningkatkan keselamatan jalan raya melalui pemilikan lesen serta melahirkan penunggang motosikal yang kompeten dan patuh undang-undang.

Program ini, katanya, dapat mendidik masyarakat mengenai pentingnya memiliki lesen memandu bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN