OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Seorang lelaki warga asing disyaki dengan sengaja mencederakan seorang rakan sekerja dalam satu pegaduhan berjaya diberkas polis di sini kelmarin( Sabtu)
Suspek berusia lingkungan 30-an telah ditangkap pada hari yang sama di sekitar tapak kawasan pembinaan perumahan di Kampung Muhibbah, dekat pekan Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Sammy Newton berkata, polis turut merampas senjata yang digunakan dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu.
“Terdahulu, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ranau bergegas ke lokasi.
“Tiba di lokasi, polis mendapati seorang lelaki juga warga asing berumur lingkungan 20-an berlumuran darah di bahagian perut dan tangan.
“Polis seterusnya menghubungi pihak Ambulans untuk mendapatkan bantuan menghantar mangsa ke Hospital Ranau. Mangsa kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth II Kota Kinabalu dan dalam keadaan stabil,” katanya kepada media hari ini.
Menurut DSP Sammy, siasatan awal mendapati, pergaduhan dipercayai berpunca dari salah faham antara suspek dengan mangsa.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan sekiranya di dapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana mana dua daripada seksaan tersebut. –TAMAT–