Anggota pasukan Mosar dan lain-lain mengangkat mangsa turun ke Timpohon Gate oleh sebelum diserahkan lepada pihak ambulans KKM
RANAU: Keadaan permukaan lorong pendakian yang agak licin mengakibatkan seorang lagi pendaki lelaki warga Amerika mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Kinabalu di sini pada dini pagi hari Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, PPgB Ridwan Bin Mohd Taib berkata, kejadian berlaku di KM6.7 laluan pendakian, Gunung Kinabalu, kira-kira jam 12 tengahhari.
“Kami menerima panggilan melalui Talian Balai pada jam 12 tengahari dan sepasukan 6 anggota mencari dan menyelamat (Mosar) Gunung Kinabalu diketuai Komander Operasi, PBB Feranideh Medi bergegas ke lokasi kejadian.

Mangsa dibaringkan di dalam ambulans selepas berjaya diangkat turun oleh anggota penyelamat
“Apabila pasukan tiba di lokasi sejauh 1 kilometer dari pos Mosar, kami mendapati terdapat seorang pendaki lelaki berumur 53 tahun telah tergelincir dan terjatuh dan berlaku hentakan di bahagian belakang pinggang, mengakibatkan mangsa sukar untuk berjalan turun.
“Pasukan Mosar yang dibantu 15 kakitangan Taman Kinabalu, seorang malim gunung, tiga orang porter dan empat kakitangan Sutera Sanctuary Lodge (SSL) bertindak memberi rawatan awal dan seterusnya membawa mangsa turun ke Timpohon Gate menggunakan stretcher,” katanya.
Tambah beliau, mangsa selamat dibawa turun ke Timpohon Gate pada jam 1.37 petang dan seterusnya diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.
Menurut Ridwan, kes pada Khamis itu menjadi kes kedua bagi bulan Julai tahun ini, dan ke-20 bagi tahun 2024.