ANGGOTA bomba berusaha untuk memadamkan kebakaran rumah di Kampung Kilan Pulau Akar yang berlaku pagi Sabtu.
LABUAN: Seorang lelaki terselamat dari rentung apabila berjaya dikejutkan daripada tidur oleh jiran ketika rumahnya sedang hangus terbakar di Kampung Kilan Pulau Akar dekat sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, jirannya terpaksa memecahkan tingkap cermin rumah mangsa untuk menyelamatkan mangsa yang sedang tidur berseorangan dalam rumah berkenaan.
Mangsa yang dikenali sebagai Ramlee Mahari, 46, mengalami cedera ringan di bahagian badan dan kepala ketika keluar menyelamatkan diri melalui tingkap yang dipecahkan oleh jirannya.
Manakala seorang lagi anak mangsa yang tinggal bersamanya telah pergi bekerja seawal pagi.

ISMAIDI…..Pengarah JBPM Labuan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan, Ismaidi Ismail ketika dihubungi berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba Layangan dan Balai Bomba Kampung Jawa tiba ditempat kejadian enam minit selepas menerima panggilan kecemasan kira kira jam 8.10 pagi.
“Seramai 13 anggota melibatkan Balai Bomba Layangan dan Balai Bomba Kampung Jawa serta dua buah jentera telah bergegas ketempat kejadian untuk memadam kebakaran.
“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 8.50 pagi” katanya.
Dalam kejadian itu, 80 peratus rumah mangsa jenis kekal musnah terbakar dan mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah di bawa ke hospital menggunakan ambulan untuk mendapatkan rawatan.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan” katanya.