Keadaan kereta dan motor yang terlibat kemalangan awal pagi Isnin.
PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbakar dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Kilometer 17, Jalan Kota Kinabalu–Papar, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 3.30 pagi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah motosikal yang ditunggang lelaki tempatan berusia 47 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa terseret sebelum terbakar, manakala mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu,” menurut kenyataan itu.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Polis turut menahan pemandu kereta berkenaan bagi membantu siasatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133.
Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan gambar atau rakaman di lokasi kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.



