Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan awal pagi tadi.
PENAMPANG: Seorang lelaki maut manakala sembilan yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Papar Lama, berhampiran pintu belakang Kem Lok Kawi di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, kereta dipandu mangsa berusia 31 tahun yang dalam perjalanan dari arah Penampang menuju Papar dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Kenderaan itu kemudian bertembung dengan pacuan empat roda yang datang dari arah Kinarut menghala ke Penampang
“Akibat kemalangan, pemandu kereta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dua penumpang kereta berusia lingkungan 30-an cedera dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, pemandu dan tujuh penumpang pacuan empat roda yang kesemuanya berusia 14 tahun turut terbabit dalam kejadian itu, dengan dua daripada mereka cedera dan kini menerima rawatan di hospital.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kematian,” katanya.
Sammy turut menasihatkan ibu bapa serta penjaga agar memantau pergerakan anak-anak bawah umur bagi mengelakkan mereka memandu kenderaan tanpa lesen, sekali gus mencegah sebarang kejadian tidak diingini.



