Lelaki Mabuk Bantu Polis Cari Orang Hilang, Rupanya Yang Hilang Itu Dirinya Sendiri

Lelaki Mabuk Bantu Polis Cari Orang Hilang, Rupanya Yang Hilang Itu Dirinya Sendiri

30/09/2021 Off By Admin

Seorang lelaki mabuk menghabiskan masa berjam-jam lamanya menyertai misi pencarian orang hilang bersama pasukan penyelamat.

Bagaimanapun, dia langsung tidak sedar bahawa orang hilang yang dicarinya itu sebenarnya adalah dirinya sendiri.

Beyhan Mutlu dari Inegol, Turki sebelum itu mengembara di hutan bersama rakan-rakannya dan didakwa turut minum minuman beralkohol hingga mabuk.

Namun menurut Daily Mail, isterinya mendakwa cuba menghubunginya berkali-kali tapi gagal, lalu terus membuat laporan polis tentang ‘kehilangannya’.

Lantas pihak polis bersama pasukan penyelamat dan sukarelawan segera ke hutan berkenaan bagi melakukan operasi pencarian Beyhan yang dikatakan hilang itu.

Dalam masa sama, Beyhan bersama rakan-rakannya yang mabuk ketika itu menyedari kehadiran pasukan penyelamat tersebut, lantas turut menyertai mereka bagi membantu pencarian ‘orang hilang’ terbabit.

Bagaimanapun ketika salah seorang penyelamat melaungkan nama ‘Beyhan Mutlu’ dengan kuat sewaktu mencari, Beyhan yang sedang mabuk terus menjawab “Saya di sini!”.

Sekelip mata, ‘orang hilang’ itu telah dijumpai dan misi pencarian akhirnya selesai.

Beyhan kemudiannya diminta untuk beri keterangan kepada polis mengenai ‘kehilangannya’ yang telah membimbangkan keluarganya.

Namun Beyhan merayu kepada polis, “Jangan hukum saya teruk-teruk, tuan. Ayah saya akan bunuh saya,”

Pihak polis menghantarnya pulang ke rumah selepas itu dan lanjutan kes ‘kehilangan’ tersebut tidak dikenal pasti setakat ini.

Sumber: Daily Mail