Junaidah (kiri) bersama bahan bukti ketika serbuan dilakukan terhadap tertuduh pada 27 Mac 2023 lalu.
LABUAN: Seorang lelaki tempatan Tee Neng Yee, 33, didenda RM 90,000 di Mahkamah Seksyen Labuan selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memiliki barang Kawalan berjadual minyak diesel berjumlah 44,000 liter tanpa lesen pada 27 Mac 2023.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya MD Syafique MD Hilmie di hadapan Hakim Marlina Ibrahim mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dibaca bersama Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 22(1) Akta yang sama.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan, Junaidah Arbain, tertuduh yang diwakili peguambela Ehsan & Yeo didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kawasan perindustrian di Kampung Sungai Bangat pada 27 Mac 2023.
““Tertuduh kemudiannya dikenakan hukuman denda RM60,000 atau penjara 12 bulan bagi pertuduhan pertama dan denda RM15,000 atau penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan kedua dan ketiga,” katanya dalam satu kenyataan media di sini kelmarin.
Junaidah berkata Akta 122 memperuntukan mana mana individu yang disambut kedalahan di bawah Akta ini boleh di denda tidak melebihi RM 1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya RM 3 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua dua sekali.
“Bagi syarikat jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM 2 juta, manakala kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 5 juta” katanya.



