SELAMATKAN…. anggota bomba terpaksa memanjat dinding hotel sebelum memujuk suspek untuk membuka pintu yang dikunci dari dalam.
LABUAN – Seorang lelaki tempatan yang dipercayai mengalami depresi nekat untuk membunuh diri selain melakukan khianat dengan membakar peralatan di dalam bilik sebuah hotel tempat suspek menginap di kawasan Lazenda Commercial Centre, dekat sini, pagi Isnin.
Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu suspek yang tinggal seorang diri dalam bilik berkenaan berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dan penyelamat yang dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pengurusan hotel.
Sebelum itu, pihak bomba dan penyelamat yang tiba ditempat kejadian mendapati bilik hotel berkenaan berkunci dari dalam, namun berjaya memujuk suspek untuk membuka pintu yang berada di aras tiga bangunan hotel berkenaan.
PEMAMGKU Ketua Polis Labuan, DSP Mohd Ibrahim Mohd. Ghani
Pemangku Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, DSP Mohd Ibrahim Mohd. Ghani berkata, pihaknya telah menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 6.50 pagi dan hasil siasatan yang dilakukan oleh Bahagian Sisatan Jenayah mendapati suspek cuba membunuh diri dengan kesan kecederaan torehan di lengan kiri dipercayai mengunakan serpihan kaca botol selain cuba melakukan khianat dengan membakar peralatan di dalam bilik hotel berkenaan.
“Siasatan oleh pihak polis juga mendapati, suspek dipercayai mengalami depresi kerana telah lama tidak dapat bertemu ibunya yang sedang dipenjarakan di salah sebuah penjara di Semenanjung Malaysia” katanya dalam satu kenyataan media di sini petang Isnin.
Katanya, suspek yang kini sedang ditahan di hospital untuk mendapatkan rawatan berada dalam keadaan stabil.
Mohd Ibrahim berkata, suspek yang berumur 35 tahun itu akan disiasat dibawah Seksyen 309 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan kesalahan membunuh diri.
“Jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara selama tempoh setahun atau denda atau kedua-duanya sekali” katanya.