Vape dan cecair dalam botol yang dirampas dari suspek
RANAU: Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun ditahan polis selepas pemeriksaan menemui dua botol cecair vape disyaki mengandungi bahan terlarang di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau di sini, petang semalam.
Menurut kenyataan polis, tangkapan dilakukan sekitar jam 5.45 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ranau hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan yang dinaiki suspek.
“Hasil pemeriksaan menemui satu unit vape berwarna merah bersama dua botol cecair mencurigakan yang dipercayai mengandungi bahan terlarang jenis magic mushroom,” menurut kenyataan itu.
Suspek kemudiannya dibawa ke pejabat BSJN IPD Ranau untuk siasatan lanjut. Semakan awal mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Polis turut merakam percakapan saksi dan menahan reman suspek bagi membantu siasatan.
Polis menegaskan akan terus memperketatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras penyalahgunaan dadah di daerah Ranau demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.



