27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Mac 9, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Lebih kurang 4,000 hadir majlis “Irau Rayeh” sempena Hari Paskah 2025

Timbalan Presiden SIB Sabah Rev Agong Sakai (ketiga dari kiri) bersama pemimpin-pemimpin gereja SIB dan orang ramai menikmati jamuan Irau Rayeh selepas melancarkan majlis itu.

KENINGAU: Lebih kurang 4,000 orang menghadiri majlis “Irau Rayeh” sempena Hari Paskah 2025 anjuran Sidang Injil Borneo (SIB) yang berlangsung di Dewan Pasisimpungan SIB Sabah di sini yang berakhir pada Sabtu.

Majlis yang berlangsung selama tiga hari yang dihadiri oleh anggota-anggota gereja SIB seluruh Sabah membabitkan 41 kawasan itu dilancarkan oleh Timbalan Presiden SIB Sabah Reverend (Rev) Agong Sakai.

Antara pengisian majlis yang gilang gemilang itu adalah tiga sesi ibadah penyegaran rohani dengan pujian dan penyembahan serta khotbah (ceramah agama Kristian) yang masing-masing disampaikan oleh Presiden SIB Semenanjung Simon Petrus Markus, Timbalan Presiden BEM Sarawak Dr Henry Padin dan Presiden SIB Sabah Rev Datuk Ir Jerry Dusing.

Selain itu sambutan Irau Rayeh yang bermaksud pesta besar-besaran itu diserikan dengan persembahan lagu-lagu rohani dan tarian yang dipersembahkan oleh gereja-gereja SIB dari kawasan Sipitang, Kudat, Tenom, Kemabong, Trusmadi dan Mendulong.

Dan yang lebih menarik adalah jamuan makan bersama-sama yang disajikan bermula jam 12.00 tengahari hingga jam 3.00 petang pada hari kedua.

Jamuan yang disajikan bercirikan masakan tempatan suku Lundayeh, Murut dan Dusun disediakan masing-masing oleh setiap kawasan.

Menurut Pengerusi Pelaksana Irau Rayeh Paskah SIB Sabah 2025 Penatua Andereas Tebari, sambutan Irau Rayeh secara besar-besaran ini adalah julung-julung kali diadakan.

Katanya, irau yang bermaksud pesta memang sudah diadakan sejak dahulu lagi pada perayaan Hari Paskah dikalangan gereja-gereja SIB tetapi ia hanya diadakan di peringkat gereja setempat dan kawasan.

“Tetapi kali ini ia diadakan secara besar-besaran bukan sahaja melibatkan seluruh gereja SIB Sabah malah ia turut melibatkan BEM Sarawak dan SIB Semenanjung” jelasnya.

Hadir sama pada majlis itu, pemimpin-peminpin SIB Pusat, ketua-ketua kawasan SIB dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN