Oleh: Marryan Razan
KOTA BELUD: Lebih 150 peserta menjayakan larian sejauh 10KM, St.Patrick Kiau Adventure Run 2020, di Kampung Kiau, di sini, hari ini.
Larian itu dianjurkan bagi mengumpul dana keperluan pembangunan Chapel St.Patrick Kampung Kiau.

Juara bagi kategori lelaki terbuka dimenangi pelari tempatan Walter Herman dengan catatan masa 54 minit 46 saat mengetepikan saingan terdekatnya John Ray (56 minit 38 saat) dan Milton Amat dengan catatan masa 57 minit 35 saat.
Bagi kategori wanita terbuka pula, tempat pertama dimenangi Fariza Sumping (1 jam 33 minit 11 saat), tempat kedua Emma Latius (1 jam 33 minit 32 saat) dan tempat ketiga Esterlisa Jimes (1 jam 34 minit 29 saat).

Pelari tempatan Sapirin Sumping merangkul tempat pertama bagi kategori lelaki veteran dengan catatan masa 1 jam 1 minit 4 saat, mengetepikan cabaran Rasil Ginsod (1 jam 6 minit 44 saat) di tempat kedua dan Jimes Sulaiman (1 jam 8 minit 11 saat), tempat ketiga.
Tempat pertama bagi kategori wanita veteran pula dimenangi oleh Delilah Sindeh (1 Jam 18 Minit 16 saat), Ganis Manggol (1 Jam 19 minit 44 saat) dan tempat ketiga Paulina Gunsalam (1 jam 43 minit 10 saat).

Peserta larian dilepaskan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.
Ewon memuji usaha pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan acara larian itu dan akan terus memberi sokongan terhadap apa sahaja program anjuran komuniti kampung itu.
“Program ini bukan sahaja dapat membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat luar bandar tetapi juga dapat mempromosikan eko-pelancongan yang ada di kampung ini,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Komuniti Pastoral Umat Katolik (KPUK) Chapel St.Patrick Kiau Paulus Kuropong berkata, pihaknya akan meneruskan acara itu pada tahun depan dalam usaha mengumpul dana pembangunan gereja.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua penaja yang memberi sumbangan seterusnya menjayakan acara itu termasuk Datuk Ewon dan usahawan-usahawan tempatan Kampung Kiau.

Hadiah pertama berupa wang tunai RM500, tempat kedua RM300 dan ketiga RM100 berserta medal.
Ewon turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk hadiah larian dan mengisi tabung pembangunan gereja St.Patrick Kiau. –TAMAT–